Tuesday, March 18, 2008

Akhlak Pelajar dan Mahasiswa

Anak-anak pelajar yang dikasihi, bersama-sama ini saya sertakan artikel berkenaan dengan akhlak pelajar dan mahasiswa. Insya Allah swt dengan membaca, merenung dan mengambil iktibar daripadanya mudah-mudahan memotivasi dan mendorong ke arah hidayah Allah swt.

AKHLAK DAN ETIKA MAHASISWA MENGIKUT PERPEKTIF ISLAM
(khuluq wa aadaabu al-talabah fi dhaw’i al-Islaam)

Oleh:
Abu 'Amrullah Muhammad ADIS al Merbawiy

Firman Allah swt bermaksud :“Dan mereka yang berjuang di jalan kami (Allah swt), akan kami beri petunjuk jalan-jalan Kami, dan Allah swt nescaya akan bersama-sama golongan yang terbaik (al-Muhsinin).”(Surah al- ‘Ankabut, 69)

1. Pendahuluan

Mahasiswa adalah tunas dan harapan bangsa dan tiang agama Islam pada masa yang akan datang. Mereka adalah benteng ketamadunan dan peradaban sesuatu bangsa. Namun mengikut pujanga Islam termasyhur, Dr. Shauqy Beig yang bermaksud : “Sesungguhnya sesuatu umat akan kekal dan terhurmat apabila mereka menjaga AKHLAK mereka. Walau bagaimana pun ketika AKHLAK umat itu telah hancur, maka umat itu akan hilang bersama-sama dengan hilangnya AKHLAK mereka.” Penekanan pembentangan ini adalah kepada Akhlak dan etika Mahasiswa, suatu generasi teras dan pendokong peradaban di masa yang akan datang. Sekiranya hancur akhlak Mahasiswa, maka hancurlah bangsa dan ketamadunannya sekaligus. Sama-samalah kita mengambil iktibar.

2. Faham Akhlak dan Etika

Secara ringkas akhlak dalam pendefinisiannya ialah suatu gambaran jiwa dalaman seseorang, kemudian diterjemahkan kepada tingkah laku tanpa memerlukan perancangan dan paksaan. Ianya terbentuk dengan proses latihan yang berterusan di dalam suatu tempoh masa yang sangat lama. Contohnya kejujuran, tidak boleh berpura-pura, kerana ia adalah sifat hati yang sebati dengan diri, manifestasi dari ilmu dan penghayatan yang lama berlaku ke atas diri seseorang individu. Di dalam Islam, akhlak datang dari prinsip-prinsip wahyu dari pencipta, Allah swt dan Rasulullah saw. Apabila di amalkan ajaran-ajarannya, lahirlah kesan pendidikan dan asuhan dalam bentuk perangai dan tingkah laku yang dikenali sebagai Akhlak Islam. Etika pula adalah sesuatu gagasan piawaian kerja yang difikirkan boleh mencapai sesuatu misi uasaha atau amal seseorang, organisasi, umat dan negara. Sekiranya gagasan itu diambil dari prinsip ajaran Islam ianya dinamakan sebagai Etika Kerja Islam (EKI). Tetapi apabila ianya diambil secara rasional dari mana-mana pengalaman bangsa lain, malah menepati kebenaran ilmu dan bernilai saintifik serta universal, maka ianya dinamakan sebagai Etika Kerja Universal sesuatu peradaban, contoh Etika Kerja Korea atau Jepun.

3. Mahasiswa dari Perpektif Islam

Dalam kebudayaan Islam Mahasiswa atau al-talabah memberi maksud golongan yang sedang bertungkus lumus mengejar, mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Waktu dan persekitaran mereka dengan kolej pengajian tinggi atau universiti-universiti, perpustakaan, bersama guru-guru, rakan-rakan seperjuangan untuk mencapai impian menjadi insan berilmu dan berguna kepada masyarakat dan negara. Bagi Muslim, Mahasiswalah yang akan menguasai ilmu dan menggantikan para ilmuan dan agamawan pewaris Nabi saw sepanjang zaman. Samada ilmu wahyu atau profesional, mereka berhak dan sepatutnya mendalami mengikut acuan pendidikan Islam ilmu sepadu agar tercapai matlamat melahirkan para khalifah yang layak mentadbir bumi dengan perintah dan syaraiat Allah swt. Watak Mahasiswa Muslim sangat cenderung dan tekun menimba ilmu pengetahuan dunia akhirat - humu al-mureeduun.

Dalam membicarakan akhlak Mahasiswa, al-Imam Abu Hamid al-Ghazali r.ah., mengemukakan sepuluh peranan atau aturan sebagai Mahasiswa yang boleh dilihat sebagai Etika Mahasiswa di dalam buku beliau yang terkenal Ihyaa’ ‘Ulum al-Din. Ianya dapat lihat seperti berikut;

3.1 Pembersihan hati dari akhlak yang buruk (al-Mazmumah)

Mempersiapkan diri yang suci dan bersih jiwa adalah perlu bagi seorang Mahasiswa, kerana Ilmu Pengetahuan dalam Islam ialah suatu cahaya dari Allah swt dan keberkatan dariNya untuk faedah diri dan orang lain. Kebersihan lahir dan batin adalah sifat yang diperlukan untuk beribadat, ekoran dengan itu menuntut ilmu adalah suatu ibadat kerana Allah swt. Hati yang bersih dari mazmumah; sifat-sifat tercela, marah, dengki, menurut nafsu, khianat, takabur, bongkak dan lain-lain, adalah hati yang bersih dari gangguan anjing-anjing (syaitan) yang menghalang para malaikat dari memberi bantuan untuk sampai, bertapak dan menguasai ilmu dari Allah swt. Hati itulah rumah ilmu, bukan minda atau otak, kerana segala proses kefahaman, intelektual dan ilmiah akan berpatah balik dan tersimpan di hati. Dari sinilah akan mewujudkan perwatakan berdasarkan kefahaman ilmu yang ada. Oleh kerana itulah sangat susah kita menyalahi kebenaran yang kita telah faham yang dipaksakan ke atas kita untuk mengubahnya atau mengingkarinya (hipokrit).

Maka ilmu di dalam Islam bukan maklumat dan fakta serta data yang sampai kepada minda kita sahaja, malah yang dimaksudkan ilmu itu ialah kefahaman, saringan, dan rumusan makna sesuatu hakikat yang difahami dan diperolehi daripada sesuatu, yang memberi faedah kepada tuannya untuk kebaikan pengabdian (ibadat) diri kepada Allah swt, di dunia dan di akhirat. Hadith Rasulillah saw menyebut bermaksud :“Dan sesiapa yang bertambah ilmunya, sedangkan ia tidak bertambah petunjuk, maka pasti ia bertambah jauh dari Allah swt.” Arb., [wa man yazidhu ‘ilman, wala hudan, fa lam yazidhu minallah illa bu‘dan]

3.2 Mengurangkan kesibukan dunia, ibu bapa dan kampung halaman

Pencarian ilmu memerlukan tumpuan dan fokus yang sangat tinggi kepada bagaimanakah kaedah ianya diperolehi. Ianya perlu dilakukan dengan usaha gigih, penuh komitmen dan tidak dilalaikan oleh urusan yang tidak berkenaan dengan menuntut ilmu seperti keduniaan, kaum keluarga dan kampung halaman. Al-Ghazali mengungkapkan madahnya bermaksud :

“Sebahagian ilmu tidak akan menyerah dirinya kepada kamu, sebelum kamu menyerahkan sepenuh jiwa raga kepadanya. Apabila kamu telah meyerahkan sepenuh jiwa raga kepadanya, sebahagian ilmu diberikan kepada kamu, namun sebahagaian lagi masih belum tentu untuk menerima kamu.”(Ihyaa’, I:63; Timbangan Amal, hal.172)

Sehubungan dengan perkara di atas, Ibnu Khaldun (Abdul Rahman ibn Khaldun) menyarankan agar Mahasiswa atau pencinta Ilmu pengetahuan berhijrah atau mengembara atau berpisah dari kampung halaman, keluarga dan kesibukan biasa setempat bagi memberi tumpuan mencari ilmu, bertemu dengan guru-guru berkeperibadian besar dan hebat, mengadakan hubungan peribadi dengan mereka agar penerimaan ilmu pengetahuan menjadi mantap dan semakin matang serta sentiasa meningkat. Semakin ramai guru, semakin baik bagi Mahasiswa tersebut.

3.3 Menghurmati Guru dan Pengajarannya

Guru adalah insan yang melahirkan Mahasiswa dari kegelapan kejahilan kepada ilmu pengetahuan. Merekalah perantara ilmu Ilahi yang menyelinap masuk ke ruang minda dan hati para Mahasiswa. Tanpa mereka insan akan berterusan jahil, bumi berterusan tandus dan gagal dimakmurkan, pembangunan dan pemodenan serta pencapaian ketamadunan tidak dapat dikecapi dan di nikmati. Adalah wajar sangat Allah swt memohon Muslim menghurmati para guru dan professor atau maha guru, kerana merekalah selepas Allah swt yang berusaha memberikan manusia faham makna segala sesuatu.

Imam al-Ghazali r.ah., menyarankan hubungan baik Mahasiswa dengan guru-guru mereka berupa menanam nilai kasih sayang, saling menyintai kerana Allah swt dan hurmat-menghurmati. Bagi Mahasiswa mengikut al-Gahazali lagi adalah tersangat mulia untuk berbakti kepada mahaguru-mahaguru mereka, menjaga rahsia guru-guru, memaafkan mereka dan tidak mengumpat mereka. Sangat diharapkan agar Mahasiswa tidak bangga diri, angkuh dengan ilmunya, mengutamakan hak guru dan mengetepikan urusan peribadinya dan selalu mematuhi nasihat-nasihat guru mereka. Semuanya ini dilakukan bukan mengokong, tetapi memberi ruang guru menyampaikan ilmu pengetahuannya tanpa gangguan dan akan bertambah keberkesanannya jika guru mengikhlaskan hatinya dan reda kepada perlakuan muridnya.

3.4 Memulakan perkara yang mudah kepada yang kompleks

Rasulullah saw telah mengarahkan para sahabat dan umat baginda saw dalam dakwah agar :[khatibuu al-naas ‘ala qadr ‘uquulihim] bermaksud : “Bercakaplah kamu kepada manusia mengikut tahap pemikiran akal mereka.” Seperti mana guru perlu melihat tahap pemikiran murid, maka Mahasiswa juga perlu mengikut skema pembelajaran yang sama, jika tidak mereka akan menemui kesukaran dan meninggalkan pengajian.

Mahasiswa hendaklah memulakan pengajian dari prinsip dan dasar seuatu ilmu pengetahuan, kemudian barulah melangkah kepada yang lebih kompleks dan abstrak. Setelah mahir, dapat menguasai hujjah keilmuan, agama dan syariat dengan baik mereka bolehlah berdiskusi, berdebat dan bergaul dengan orang-orang bukan Islam, agar boleh meberikan faham Islam kepada mereka dan mengesan kekeliruan ilmu dan Islam yang berlaku di kalangan gologan bukan Islam. Al-Ghazali r.ah., tidak menggalakkan golongan yang baru dalam ilmu berdebat dan behujah, kerana berkemungkinan mengelirukan mereka di dalam ilmu dan boleh menyimpang dari kebenaran agama Islam.

3.5 Mendalami Pelbagai dimensi, tidak Unidisciplinary.

Sifat ilmu pengetahuan di dalam Islam ialah Multidisciplinary atau integral curriculae. Maka sebagai Mahasiswa yang menuju pematangan usia dan ilmu, hendaklah menghapuskan budaya fanatik disiplin tunggal ini, sehingga ia tidak nampak hubungkait antara disiplin ilmunya dengan ilmu-ilmu yang lain. Contohnya pelajar bahasa tidak berminat subjek statistik, agama Islam, matematik dan anthropologi, sedangkan setiap disiplin lain sangat membantu memantapkan aspek linguistik yang lebih menyeluruh disiplin dan penguasaannya. Begitu juga jika saintis tidak berminat mempelajari psikologi, ilmu syariah, bahasa, statistik dan aqidah, maka kepakaran saintifiknya di bidang biologi dan perubatan sangat terhad dan gagal membuat keputusan yang terbaik.

Ringkasnya budaya ilmu multidisiplin atau ilmu sepadu itu hendaklah difahami dan dikuasai serta diamalkan oleh Mahasiswa di zaman dunia tiada sempadan – global village hari ini.

3.6 Menguasai ilmu pengetahuan berperingkat-peringkat

Ilmu pengetahuan tidak dipelajari serentak, melainkan dengan cara berperingkat-peringkat, selepas dari mempelajari ilmu yang lebih penting, lalu dikuti dengan ilmu pelengkapnya. Bagi Imam al-Ghazali r.ah., ilmu Syariat adalah yang terpenting kemudian barulah diikuti dengan ilmu keperluan semasa. Jika tidak berkesempatan, hendaklah mengetahui secara ringkasan disiplin ilmu tersebut serta matlamat ilmu tersebut (the epitome of certain disciplines).

Ibn Khaldun menyetujui kaedah pembelajaran beransur-ansur sehingga pelajar menguasainya dan berkesanggupan mendalaminya dari suatu disiplin ke satu disiplin. Proses ini akan berjalan beterusan sehingga kesanggupan itu tumbuh dari masa ke semasa sehinggalah Mahasiswa dapat menguasainya ke tahap tinggi dengan sering di ulang-ulangkan.

3.7 Kuasai Kebenaran ilmu Islam berhirarki Universal

Ilmu pengetahuan di dalam skema Islam adalah berkedudukan kebenaran sejagat, di mana setiap disiplin akan berkaitan dengan disiplin yang lain. Setiap disiplin yang bergelar ilmu (knowledge), maka ia sudah berada pada tahap muktamad dan mutlak yang mana boleh membimbing dan menjanakan ilmu-ilmu lain di bawah hirarkinya (scientific activities). Rentetan dari itu, sentiasa akan berlaku penjanaan aktiviti-aktiviti, kajian-kajian dan ujian-ujian menghasilkan disiplin-disiplin ilmu baru (new researches and findings or discoveries). Maka al-Ghazali r. ah., bersetuju agar dipastikan penguasaan mantap kepada sesuatu disiplin ilmu itu agar ianya nanti berkesan membimbing ilmu-ilmu yang lain, akan muncul dan terhasil akhirnya.

Imam Ali ibn Abi Talib kr.wjh., berkata :“janganlah kamu mengenali kebenaran melalui orang yang menyampaikannya. Sebaliknya kenalilah kebenaran itu sendiri (the truth as it is), pastilah kamu mengenali orang yang benar-benar memilikinya.” [Ihyaa’, III:46]

3.8 Memandang Positif setiap disiplin ilmu.

Al-Ghazali r.ah., menganjurkan agar para Mahasiswa atau pelajar memahami nilai sesuatu disiplin ilmu pengetahuan yang dipelajarinya dan tahu sumbangannya di dalam peradaban negara serta mengetahuai juga ke tahap manakah ilmu itu berkembang di dalam konteks semasa. Setengah ilmu memiliki kelebihannya tersendiri berbanding dengan disiplin yang lain. Al-Ghazali r.ah., memberi contoh perbandingan ilmu matematik dan astronomi, di mana matematik lebih utuh dari sudut pembuktian – justifiability berbanding astronomi. Jika dilihat dari sudut kepenggunaan, maka ilmu perubatan adalah lebih bermakna untuk menyelamatkan nyawa manusia, sedangkan matematik sangat jitu impaknya dalam mempastikan ukuran, pembuktian dan pendalilan kes sesuatu bidang ilmu.

Tegasnya sikap positif Mahasiswa sangat perlu untuk menghargai sebarang bentuk ilmu pengetahuan. Hal ini sangat berguna dalam merancang subjek apakah yang sesuai diambil, bagi mengukuh dan memantapkan disiplin fokus seseorang Mahasiswa, sebagai disiplin-disiplin penyokong, penguat dan usaha pemantapan akademik dan penguasaan ilmu hakiki di dalam kesarjanaan dan keilmuan. Tanpanya Mahasiswa akan hanyut di dalam lambakan kursus-kursus yang tidak releven dengan pemantapan daya pengukuhan sesuatu disiplin ilmu. Akhirnya kita akan menghasilkan graduan yang sangat lemah dan tidak profesional.

3.9 Mendalami ilmu jangka pendek dan jangka panjang.

Mahasiswa hendaklah menfokuskan penguasaan ilmu mereka untuk tujuan jangka pendek (membentuk insan kamil), yakni meningkatkan potensi dan kemahiran dan kepakaran tenaga manusia mahir yang diperlukan oleh maysrakat dan negara. Manakala matlamat jangka panjang pula ialah penguasaan ilmu dan amal berterusan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah swt (taqarrub ila Allah) dengan menjadikan segala profesyen dan iktisas Mahasiswa dan graduan sebagai amal yang tunduk di bawah Syariat dan pengawasan Allah swt. Inilah tujuan ilmu Islam iaitu untuk husnu ta‘abbudiy kepada Tuhan, pencipta alam raya.

Maka menjadi penekanan utama Mahasiswa, bahawa ilmu berteraskan Wahyu dan Akhlak Islamiah adalah yang terbaik dan terpenting. Kemudian ilmu-ilmu selainnya yang menjadi bidang fokus Mahasiswa sekelian akan dikuasai beriringan dengan ilmu Syariat Islamiah; Aqidah, Syariat, Ibadah dan Akhlak. Ini boleh menjamin perkembangan ilmu intelek yang mencapai keserasiannya dengan pembangunan minda dan kepakaran sumber manusia dan peningkatan keruhanian insan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

3.10 Mampu mengenal faedah kekal disiplin ilmu

Al-Ghazali r.ah., dalam cadangan terakhirnya menjelaskan bahawa Mahasiswa haruslah benar-benar tahu nilai hakiki ilmu yang dipelajarinya, membolehkan dirinya mendapat kebahagiaan kekal abadi di akhirat. Pastilah ilmu dan kesan perlaksanaanya menepati dengan kelancaran perlaksanaan tugas khalifah seperti yang dikehendaki Allah swt. Jadi apabila ilmu dan perlaksanaannya berada di jalan Allah swt dan untuk Allah swt (fi sabiliLlah), maka ilmu dan pemiliknya berada di dalam keredaan Allah swt. Pangkat reda Allah swt inilah tujuan dan kepentingan ilmu yang tertinggi.

4. Akhlak dan Etika Mahasiswa Muslim

Al-marhum sheikh Mustafa Masyhur di dalam bukunya, al-Qudwah ‘ala Tareeq al-Da‘wah, menjelaskan akhlak pelajar-pelajar Muslim atau Mahasiswa Muslim sebanyak 15 perkara, yang dapat dirumuskan kepada 10 perkara antaranya termasuklah;

4.1 Niat ikhlas belajar kerana Islam; demi untuk penganutnya, Masyarakat Islam dan Negara Islam. Sehubungan dengan Islam juga meletakkan niat menguasai ilmu untuk menepati kelayakan menjadi khalifah di bumi iaitu menjadi para ulamak-profesional, menguasai teknologi dan mendalami kepelbagaian bidang kepakaran dan ilmu pengetahuan. Oleh itu pastikan kaitan antara bidang kursus dengan sumbangan yang boleh diberikan kepada agama Islam ketika berada di dalam bidang kerjaya nanti. Barulah agama Islam itu didirikan seiring dengan kepakaran profesional dan teknologi semasa, agar pembangunan kebendaan tidak lagi bercanggah dengan aspirasi pembangunan manusia soleh atau warga yang baik-baik.

4.2 Mampu menyediakan peribadi terpelajar, berkebolehan menguasai dan membina serta menjana ilmu pengetahuan, mengetahui hubungkait ilmunya dengan keperluan masyarakat dan realiti persekitaran semasa agar mahasiswa berkemampuan memberikan faedah kepada manusia (ilm muntafi‘un).Seiring dengan penguasaan tersebut, mereka mestilah berakhlak dengan menunanaikan solat, menghurmati ibubapa, guru dan menjaga hubungan baik dengan keluarga dan rakan sahabat handai.

4.3 Bijak memilih bahan bacaan dan rakan. Kawan hendaklah soleh dan dapat mengawal persahabatan agar tidak membuat perkara sia-sia dan membuang masa. Begitu juga dengan bahan-bahan bacaan mestilah yang boleh membina minda, bacaan bersih dan merehatkan minda. Jauhilah bacaan merosakkan minda dan membawa dosa maksiat.

4.4 Memberikan fokus khusus untuk belajar, kerana di usia begini mereka wajar memenuhi minda dengan pendidikan dan pelajaran serta membentuk keperibadian Mahasiswa unggul. Jika fasa ini berjaya senanglah ia meneruskannya di fasa perkerjaan dan kerjaya dengan cemerlang.

4.5 Menjadi seorang yang sistematik dan teratur di dalam urusan mereka (munazzaman li syu’uunihim). Mereka perlulah tertib di antara urusan pengajian, kelas, rumah, bilik, buku-buku dan pakaian mestilah senang dicapai dan diperolehi tanpa membuang masa mencarinya. Begitu juga dengan keperluan mengurus masa dengan baik antara keperluan belajar, tidur, mengulangkaji, bermain, rekreasi, beribadat dan bersosial. Jangan dicuaikan atau dicampuradukkan antara keperluan tersebut. Dalam merancang, berdoalah dan bertawakkal kepada Allah swt adalah perlu, agar Dia yang akan memperelokkan usaha dan perancangan mahasiswa sekelian.

4.6 Mahasiswa hendaklah menjaga kebersihan diri mereka samada diri dalaman (the psychological of human soul) mereka mahu pun diri luaran mereka. Mahasiswa hendaklah membersihkan hati mereka dari hasad dengki, dendam, mazmumah, pemarah, angkuh, takabbur, terpedaya (al-ghurur) dengan maksiat, cinta dunia dan sebagainya. Mereka kemudiannya isikan dengan ikhlas, kasih, warak, taqwa, penyayang, suci hati, tawadu’, mencintai kebenaran, tawakkal dan sesuatu yang diredai Allah swt. Tidak dilupakan juga penjagaan kebersihan dan kerapian pakaian, tubuh badan, bilik tidur, meja tulis, buku-buku serta peralatan sukan dan sebagainya. Semuanya dibuat dengan penuh keimanan bahawa Islam; Allah swt dan RasulNya sukakan kebersihan dan ianya sebahagian daripada keimanan individu.

4.7 Mahasiswa wajib menguasai pelajaran mereka (istee‘ab ‘ala al-mawaad). Tradisi berguru di dalam Islam, adalah pemusatan disiplin menuntut ilmu, maknanya hadir kuliah, tutorial, kelas dan makmal (experiential learning) satu kemestian kecuali ‘uzur syar’ie. Al-Imam al-Ghazali menghendaki pelajar atau mahasiswa memberikan penuh penumpuan kepada pelajaran dan prosesnya, agar semua kefahaman dan penguasaan dapat diperolehi sepenuhnya, sehinggakan sekiranya pelajar ingin bertanya perlu mendapat persetujuan guru terlebih dahulu. Mahasiswa perlu mengetahui dan mempastikan penguasaan rantaian perkaitan antara suatu pelajaran atau sesuatu bab atau bahagian dengan yang lain. Sebarang kekeliruan, perlu diatasi segera agar tidak menggangu bahagian lain. Ringkasan kandungan mata pelajaran keseluruhan bahagian dan bab perlu dibuat dalam nota ringkas atau gambarajah (pemetaan minda sistematik – a systematic mind maping).

4.8 Mahasiswa perlu mencapai kecemerlangan Peperiksaan di samping penglibatan kelab dan pertubuhan serta kegiatan ko-kurikilum, khidmat masyarakat dan aktiviti-aktiviti keislaman. Pastikan kerja-kerja persatuan tidak mengganggu pelajaran dan keputusan peperiksaan. Keseimbangan pendidikan akademik dan kemahiran bersosial dan berorganisasi penting kepada Mahasiswa untuk meningkat maju di dalam pelajaran dan masa depan kerjaya mereka.

4.9 Mahasiswa perlu mengekalkan hubungan dengan Allah swt sentiasa. Hubungan dengan Allah swt dilihat secara berzikir (mengingatiNya), memohon perlindungan dari gangguan syaitan (ta‘awwuz), memohon pertolongan, bersyukur dengan kurniaan, beristighfar dengan kecelaan, memulakan usaha dengan namaNya, selepas berusaha hendaklah bertawakkal dan berdoa agar disempurnakan amalan agar cemerlang, pohon kekuatan berusaha dan berjihad daripadaNya, berdoakan untuk ketenteraman jiwa, hati dan perasaan, minta agar dihapuskan perasaan dukacita dan lemah kemahuan. Insya Allah, dengan menjaga hubungan dengan Allah swt, Mahasiswa akan mendapat kekuatan tambahan, akan terasa menerima bantuan berterusan dan sentiasa bersemangat untuk terus maju dan berjaya.

4.10 Mahasiswi perlulah mengekalkan apa yang telah disebut di atas, di samping sebagai srikandi mereka wajar menjaga marwah diri (‘iffah) seperti menjaga sifat kewanitaan, berpegang teguh dengan adab-adab gadis dan wanita Muslimah, menjauhi perhiasan dan pergaulan terlarang, menepati pemakaian Muslimah sejati (menjaga dan menyempurnakan penutupan aurat), mengelakkan akhlak-akhlak tercela seperti ketawa mengilai, mengangat suara bertempik, berada di tempat-tempat atau persekitaran tidak bermoral dan hina, i.e. kelab dangdut, night club dll., bersikap pemalu, bijak dan intelektual, pandai memilih teman yang baik, giat berusaha dan kuat berpegan dengan agama dan akhlak terpuji. Mahasiswi perlulah bertanggung jawab terhadap sesama rakan Hawa, agar imej mereka tidak merosakkan majoriti kaum hawa yang lain khususnya Muslimah sejati.

Daripada pandangan Imam al-Ghazali dan Sheikh Mustafa Masyhur di atas suka dirumuskan bahawa akhlak dan etika Mahasiswa Muslim adalah seperti berikut;

1. Keikhlasan kerana Allah swt
2. Jihad fi sabilillah
3. Pencinta ilmu dan pembela kebenaran
4. Penguasaan bidang profesional
5. Disiplin dan kemahuan yang tinggi – himmah ‘aaliyah
6. Ukhuwwah sesama Rakan
7. Menghurmati guru dan ilmu pengetahuan
8. Bijaksana dan Tawakkal – wisdom and render for the completion
9. Memikul Amanah Allah swt

5. Penerus Tradisi Keintelektualan

Rencana ringkas ini cuba melihat dua aspek penting di dalam Islam yang boleh di harapkan daripada Mahasiswa untuk menjadi generasi penerus Tradisi Intelektual bangsa dan Negara. Dua perkara itu ialah Mahasiswa harus sedar bahawa acuan pendidikan Islam mengambil berat tentang gabungan ilmu Syariat dan Profesional. Maka kepandaian dan kepakaran sumber manusia, tidak akan bermakna jika hasilnya tidak tunduk kepada kehendak Allah swt dalam membangunkan alam raya dan membangunkan perbandaran, Industri dan pemodenan. Lalu sekali pun disebut intelektual, di dalam Islam keintelektualan itu mestilah juga melibatkan penghayatan prinsip-prinsip kegamaan Islam di dalam ilmu pengetahuan dan pengaplikasiannya. Maka proses pemodenan seharusnya seiring dengan pensyariatan dan budaya ilmu dan aplikasinya secara adil sehingga mampu mencapai mercu keadilan ilmu pengetahuan – justice in knowledge atau al-adaab.

6. Rumusan dan Penutup

Sebagai rumusannya saya mengharapkan para Mahasiswa faham fungsi dan peranan anda di dalam usaha menuntut ilmu dengan penuh serius dan bertanggung jawab. Negara Umat Islam menanti sentuhan kepakaran anda dan penghayatan ‘ubudiah anda ketika membangunkan negara ini di masa hadapan. Tanpa acuan pendidikan dan ilmu sepadu ini –integrated knowledge and education, Malaysia tidak akan sunyi dari huru-hara, disebabkan kelemahan akal manusia yang tidak mahu sujud kepada prinsip ajaran agama Islam dan nilai agung lagi kudus dari Allah swt di dalam pembangunan. Maka untuk kebahagiaan dunia akhirat, kembalilah menghayati perjuangan menuntut ilmu mengikut acuan pendidikan sepadu. Walaupun lambat kesannya, istiqamah atau usaha beterusan mampu menjanjikan hasil pembangunan sejahtera untuk semua warga. Insya Allah swt.

5 September ‏2004
Dewan Miami Hotel Feringghi Beach
Pulau Pinang

No comments: