Wednesday, March 26, 2008

Chapter I : CTU 211

Sains dan Teknologi Islam

CHAPTER ONE

SAINS DAN TEKNOLOGI ISLAM

1. Pendahuluan

Perbincangan ini cuba memahamkan kita tentang erti Falsafah Islam yang dilihat sebagai punca tercetusnya pemikiran dan ilmu pengetahuan umat Islam. Hubungkait antara Ilmu pengetahuan, Teknologi dan perlaksanaannya di dalam kehidupan yang sangat rapat dan perlu kepada akhlak, secara falsafahnya disebut Etika Islam. Lalu memahami sains dan teknologi dari sudut pandang alam Islam – Islamic Worldview atau Arb., ru’yatu al-Islam fi al-wujud adalah suatu yang sangat penting dan menjadi dasar di dalam Islam. Kesan etika Islam ini dapat diungkapkan melalui bukti-bukti sumbangan Islam di dalam Sains dan Teknologi yang pernah direkodkan oleh sejarah keagungan Islam. Gabungan dasar wahyu dan akal umat Islam, menyumbangkan suatu bentuk rangka dasar sains Islam (the framework of Islamic science) yang kemudiannya dimajukan oleh Tamadun Barat dengan meninggalkan aspek nilai kudus Metaphysics dan sudut pandang alam Islam serta nilai-nilai jatidiri ilmu pengetahuan, mengakibatkan berlaku sekularisasi di dalam sains moden. Dengan meneliti secara kritis dan analitik akan sumbangan sains Islam ini, menimbulkan suatu keinsafan bahawa sains moden harus dikembalikan semula kepada sifat dan jatidiri ilmu pengetahuan yang asal di dalam Islam – Islamization of Contemporary Knowledge.

2. Maksud Falsafah dan Kepentingan Etika Islam di Dalam Sains dan Teknologi

2.1 Makna Falsafah

Asal Perkataan Philo – Sophia bermaksud to love wisdom atau mencintai kebijaksanaan. Melalui perasaan cinta terhadap sesuatu lalu seseorang itu berusaha sepenuh tenaga untuk mendapatkannya. Kata Sophia pula menjelaskan tentang bijaksana, pandai dan pengertian yang mendasar serta mendalam.

Jadi falsafah bermaksud “kecintaan dan keinginan untuk mengetahui sesuatu itu secara mendalam, hasilnya menjadikan seseorang itu bijaksana dan mencintai kebenaran sepenuh jiwanya.” (Endang Saifuddin, 1982:75)

Kata Philo-Sophia Greek itu, tidak bererti kaum lain tidak berfalsafah. Falsafah wujud di kalangan manusia yang berakal dan berfikiran, kerana ia menjelaskan tentang pengertian, respons dan sikap individu terhadap sesuatu perkara dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan.

2.2 Falsafah dan Para Failasuf.

Phytagoras (580-500SM) menjelaskan Falsafah ialah “kecintaan terhadap kebijaksanaan” dan menggunakannya bertujuan untuk kajian dan perbahasan tentang tabiat sesuatu perkara.

Plato (427-347SM), menjelaskan bahawa falsafah “adalah pengetahuan tentang segala yang ada”. Aristotles (384-322SM), Murid Plato menyatakan falsafah ialah “suatu disiplin yang menyelidiki asas dan sebab segala benda.”

Mengikut al-Kindi (185-252H/801-866M) menjelaskan bahawa falsafah ialah “ilmu tentang kewujudan benda-benda, ilmu tentang urusan ketuhanan dan urusan kemanusiaan.” Manakala al-Farabi (257-339H/870-950M), failasuf kedua Muslim menyatakan falsafah ialah “ilmu pengethauan tentang alam yang ada dan bertujuan untuk menyelidiki hakikatnya yang sebenar.”

Rene Descartes (1596-1560M) bapa Falsafah Moden (Rennanisance), menyetujui falsafah adalah “suatu disiplin yang dapat menjelaskan hakikat kebenaran yang tertinggi (the ultimate truth).” (Mohd.Nasir Omar, 1982:3-5). Kepada Horald H Titus berpendapat falsafah merujuk kepada empat pengertian; 1) Sikap tentang hidup dan alam semester 2) Suatu kaedah pemikiran reflektif dan akliah 3) suatu peringkat permasalahan 4) suatu teori atau sistem pemikiran (Endang Saifuddin, 1982:78-80). Max Hocutt mendefinisikan falsafah dari dua sudut pandang, 1) One’s basic attitudes, beliefs and concept, on the other hand it is the ABC’s of one’s way of thinking. 2) a criticism of these ABC’s. Falsafah pertama boleh dimiliki manusia sedang peringkat kedua pula ialah suatu yang dilakukan oleh seseorang. (Max Hocutt, First Philosophy: an Introduction to Philosophical Issues, 1980:5-6); John Hosper menjelaskan bahawa falsafah ialah “philosophy will try to interrelate, connect, synthesize if you will, the various other branches of learning including most of other subjects included in liberal arts education.” (John Hospers, Introduction to Philosophical Analysis, 1956: p.xi)

Falsafah ialah suatu disiplin pengetahuan teristimewa yang befungsi menyelesaikan masalah dan persoalan yang tidak terjawab oleh disiplin ilmu pengetahuan biasa (normal sciences). Ia nya hasil daripada usaha rational akal manusia, pemikiran kritis dan integral, bagi memahami dan menganalisa hakikat-hakikat objek alam raya, kemanusia dan ketuhanan.

Falsafah ialah ilmu induk kepada seluruh disiplin sciences. Perbezaan takrif kalangan Failasuf adalah disebabkan perbezaan sudut pandang – worldviews dan kepelbagaian bidang ilmu pengetahuan hasil dari pencarian hakkikat objek alam raya yang beraneka jenis dan rupa – the various reality of inferences about universal objects.

2.3 Makna Falsafah Islam

Islam adalah Risalah Samawiyah yang sejahtera, sempurna dan menyempurnakan kejadian yang lain. Ajaran dari Allah swt ini (Rabbaniy), bersih dari campur tangan makhluk, malah ianya menggambarkan keagungan Risalah Allah swt Tuhan dan pencipta Alam raya ini. Apa sahaja jika dinisbahkan kepada Islam, pasti menuntut prubahan menyeluruh dan penyesuaian dengan sifat-sifat, watak-watak dan tabie Islam suatu cara hidup berpandukan ilmu Ilahi yang sempurna dan menyempurnakan. Begitu jugalah halnya dengan Falsafah Islam.

Falsafah adalah kaedah dan hasil pemikiran dan gerak kerja golongan failasuf yang mencari makna dan hakikat sebenar sesuatu perkara dengan penyiasatan rapi menggunakan aturan berfikir yang sahih kesan pemberian Allah swt (the ability of aprehension or intellectual rationality). Islam memperuntukan ruang yang sangat luas bagi akal fikiran (al-‘aql – the intellect) selain daripada ilmu wahyu (al-wahy – the revelation), untuk menerokai ruang lingkup perbahasan mengenai alam raya (al-kawniyah - the creations), malah merangkumi alam sebaliknya yang masih diizinkan Allah swt dan Rasulnya saw (umur al-ghaybiyyat – Metaphysics). Batasan autoriti akal fikiran jelas sekali dengan hadis Rasulullah saw : “tafakkaruu fi khalqiLllah wala tafakakruu fiLlah [fi dhatih] fa tuhlikuh”. – Gunakanlah ketajaman penyiasatan akal kamu terhadap makhluk Allah swt, dan jangan gunakannya [dengan akal itu] menerokai makna zat Allah swt nescaya kamu akan binasa.

Islam sangat mengambil berat dalam memahami alam ghaib atau pengetahuan tentang kerajaan ketuhanan (al-Ilahiyyat) menerusi akal fikiran berpandukan wahyu Allah swt bagi menghasilkan logika Islam yang tersendiri, kerana pengetahuan inilah memandu dan menjelaskan secara nyata kesan yang berlaku di alam syahadah (visible world). Dalam Islam pemikiran demikian dapat dicapai menerusi Speculative Theology – Ilmu Kalam (kajian ajaran Tawhid) dan Immaginative Sufism – ketajaman persepsi kesufian atau pengalaman pengenalan Ilmu Tasawwuf. Tegasnya Alam Ghaib adalah punca terhasilnya alam nyata.

Cara gaya tersendiri Islam memahami dan menyelidiki alam raya melalui akal, menghasilkan bidang falsafah Islam di dalam alam ghaib (metafizik dan ketuhanan – Metaphysics), pengetahuan mengenai cara gaya bagaimanakah kesahihah ilmu diperolehi (asbab al-ilm – epistemology), pengetahuan tentang keabsahan nilai akhlak (qiyam al-khuluq – ethical values or axiology), pengetahuan tentang kaedah tepat menemukan kesahihan dan kebenaran (burhan - logical demonstration) dan pengetahuan mengenai nilai keindahan dan kesempurnaan kewujudan ini (ilm al-jamal – aesthetics). Keseluruhan disiplin falsafah Islam ini digerakkan dan dihasilkan oleh akal fikiran secara Islam dengan merujuk dan berpandukan kepada ajaran Islam di dalam bidang-bidang tersebut. Inilah Falsafah Islam.

Dalam Islam kata falsafah dikenali sebagai hikmat berasal daripada perkataan H-K-M, bermaksud kata putus, jitu dan tepat. Jadi kata jamaknya ialah hikamun suatu kecapaian makna yang sebenar dan menggambarkan tentang hakikat segala sesuatu subjek perkara di alam raya. Firman Allah swt: Arb., wa man yu’ti al-hikmata faqad utiya khayran kathira bermaksud: “ Barangsiapa yang diberikan hikmat daripada Allah swt, maka sesungguhnya ia diberikan kebaikan yang sangat banyak.”

2.4 Makna Falsafah Sains

Sains berasal daripada kata Latin ‘Scientia’ bermaksud pengetahuan. Secara peristilahannya sains ialah suatu pengetahuan yang memiliki ciri-ciri, tanda-tanda dan syarat-syarat khas tentang sesuatu disiplin ilmu pengetahuan secara terperinci. Igr., sains dikenali sebagai Sciences bermaksud: “suatu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti atau dengan fakta-fakta yang ditinjau, dan disusun secara bersistem dan dihimpun dalam bentuk hukum-hukum umum, dan ia termasuklah kaedah-kaedah yang boleh dipercayai untuk menghasilkan kebenaran baru di dalam lapangannya sendiri.” (English Oxford Dictionary).

Sifat sains mengikut definisi ini melibatkan penilaian dan penyiasatan serta tinjauan maklumat secara objektif menggunakan kaedah-kaedah rasional dan emperikal.

Apabila Falsafah digabungkan dengan Sains membentuk satu kata nama ‘Falsafah Sains’ (FS) bermaksud :“Suatu hakikat persoalan falsafah atau pemikiran manusia yang diajukan kepada sesuatu disiplin sains dan teknologi, mengenai ontologi, epistemologi, etika, eastetika, metodologi, kaedah rasional dan logik, metafizik dan aksiologi, bertujuan untuk menjelaskan hakikat kedua-duanya secara tepat. Penggunaan akal beterusanlah mampu mencetuskan penfalsafahan ke atas tingkat-tingkat sains dan Teknologi.”

Sekiranya kedudukan falsafah sains di atas dapat difahami, maka senanglah kita memahami Falsafah Sains Islam (FSI) yang bermaksud: “Suatu hakikat persoalan falsafah atau pemikiran manusia yang beterusan mengenai ontologi, epistemologi, etika, eastetika, metodologi, kaedah rasioanl dan logik, metafizik dan aksiologi terhadap sesuatu disiplin sains dan teknologi dari perspektif Islam atau sudut pandang alam Islam (Islamic point of view) untuk menjelaskan hakikat tingkat-tingkat sains dan teknologi secara tepat dan global atau universal sifatnya.”

Inilah suatu maksud yang hendak disampaikan Reese yang menyatakan Falsafah Sains berfungsi menghubungkan pemikiran saintifik dengan penyelidikan sains dengan tujuan menyelidiki nature sains, metodologi saintifik dan logiknya, menerokai bidang-bidang yang bersangkutan dengan sains dan memperkuatkan penemuan-penemuan sains (Reese, 1980:435). Hakikat ini disokong oleh saintis barat moden yang termasyhur Sir Albert Einstien kata beliau: “Sience without philosophy is blind, and philosophy without science is empty.” Inilah suatu kebenaran ilmu pengetahuan yang tak dapat disangkal tentang eratnya hubungan falsafah dan sains dan teknologi.

Ketika persoalan-persoalan falsafah itu ditujukan kepada Islam, agama itu telah menyediakan landasan akal yang luas, garis panduan berfikir yang tepat, mengemukakan kerangka berfikir saintifik yang tulin (pure paradigm in scientific thought) dalam mengenali alam fizik (visible world) dan metafizik (unseen world) secara lengkap dan komprehensif.

3. Konsep Sains dan Teknologi Dalam Islam

3.1 Pendahuluan

Sudah menjadi tradisi Sains dan Teknologi di dalam ajaran Islam, sebagai agama Tawhid di mana ia tidak sekali-kali memisahkan (secularization) sains dan teknologi daripada prinsip-prinsip dan dasar-dasar agama Islam (Islamic Foundations in scientific enterprises).

Secara konvensional juga difahami bahwa sains itu adalah ‘suatu maklumat atau fakta yand diperolehi menerusi penyelidikan dan penemuan yang menggunakan kaedah-kaedah tertentu (emperical methodologies). Ia merupakan suatu bidang ilmu pengetahuan yang sistematik, hasil daripada tindakan sebab dan akibat yang telah sekian kali diuji dan dibuktikan kebenarannya.’ (Kamus Dewan, 1986:1009)

Pentakrifan sains ini mampu menyampaikan manusia kepada makna suatu kebenaran asal usul dan tujuan kewujudan (ontological aspect) sesuatu objek di alam raya. Manakala kaedah saintifik pula ialah peralatan yang digunakan untuk mampu mengenali tingkat-tingkat kebenaran mutlak (absolute) atau nisbi (relative) menggunakan kajian emperikal, pengumpulan data, penganalisaanya, dibantu pancaindera dan pemikiran rasional dan saintifik akal fikiran para failasuf-saintis, bagi mengenali hakikat sesuatu subjek saintifik yang diperiksa. Lalu dinamakan sesuatu disliplin ilmu tersebut berdasarkan ‘tabiat - nature’, ‘sifat-sifat – attributes’ dan ‘gelagat – behaviorial ’ sesuatu subjek perkara tersebut. Contoh kajian hayat – living things melayakkan ia dinamakan ilmu Biology dan tabiat mencari punca-punca penyakit dan penyembuhannya di namakan ilmu Perubatan – Medical Sciences or Applications.

Dalam Islam ilmu pengetahuan terhasil dari kaedah rasional akal dan kajian emperikal sahaja belum mempastikan ia mencapai kebenaran mutlak (sekadar kebenaran positif). Faktor individu ilmuan itu juga mempastikan ilmu pengetahuan itu diperolehi, seperti para Nabi Allah swt (anbiya’), ahli hikmah Muslim (hukama’), para failasuf (al-msha’iyun), para wali atau awliya’ (theologians - mutakallimun), golongan siddiqin-golongan (gnosist) yang benar iman mereka, para ulamak (noble person) dan pakar-pakar disiplin (expertise) tertentu yang menerima pengetahuan daripada Wahyu, Intuisi dan Inspirasi Intelektual di samping akal rasional dan kajian emperikal yang serius. Jelasnya Islam mengambil kira kebenaran alam fizik dan metafizik untuk menghasilkan sesuatu kebenaran ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan Allah swt adalah di atas segala-galanya dan Dialah punca sebenar lahirnya pengetahuan tersebut melalui beraneka saluran yang telah ditentukan sampai kepada manusia. Ada saluran diusahakan mencarinya – ‘ilm al-iktisabiy (al-husuliy) atau intellectual knowledge dan ada saluran diperolehi kefahaman dengan inayah Allah swt – ‘ilm al-huduriy atau inspired knowledge.

Manakala Teknologi bererti “penggunaan pengetahuan sains secara bersistem untuk tujuan amali (Galbraith, 1978:31) atau perlaksaan pengetahuan praktikal dan teknikal.” Teknologi didefinisikan juga “sebagai Sains Gunaan (applied Sciences), di mana penggunaan ilmu sains untuk mencapai tujuan-tujuan praktikal dan material serta mampu memudahkan kerja-kerja teknikal manusia.”

Dalam konteks Islam, pengetahuan teknologi yang dilaksanakan hanya yang benar-benar memberi manfaat untuk kemudahan dan kemakmuran kepada ummah, tanpa mengganggu ekosistem alam raya dan penggunaannya tidak terkeluar daripada prinsip-prinsip keadilan, kebenaran, Syariat Islamiah dan nilai Etika Islam.

3.2 Konsep Sains dan Teknologi Islam

3.2.1 Ciri-ciri Sains Islam

Sains Islam ialah suatu peringkat ilmu pengetahuan yang lahir dan berkembang dengan sumbangan dan dokongan ahli-ahli sains Muslim atau dimajukan oleh saintis bukan Muslim berasaskan rangka berfikir santifik yang Islamik (based on Islamic Framework of Scientific Enterprise) dengan menjaga dan memperjuangkan hakikat kebenaran dan keadilan ilmu pengetahuan agar dapatlah ditegakkan kebaikan dari Allah swt (al-’amru bi al-ma‘ruf) dan menyingkirkan kejahatan jahiliah (al-nahyu ‘an al-munkar) daripada Syaitan. Kekallah keadilan Ilahi dimenangkan ke atas penyelewengan segala jenis agama-agama rekaan (jawri al-adyan) selain daripada Islam. Dengan itu barulah tertegak ketamadunan Islam yang hakiki – al-hadarat al-Islamiyah al-haqiqiyah – the reality of Islamic Civilization.

Berikut adalah ciri-ciri Sains Islam, antaranya;

a. Sains Islam yang Rabbaniy – mengimani dan mendasari wahyu dan ilham dari Allah swt. Wahyu al-Quran dan hadith Nabi Muhammad saw banyak menjelaskan hal-hal saintifik sekalipun bukan tugas asasi kitab itu (memberi hidayah, iman dan melaksanakan Islam)

b. Setiap bidang ilmu pengetahuan Islam berkait rapat dengan prinsip Tawhid secara organis, kerana yang maha tahu itu Allah swt, begitu juga segala sebab akibat dan dorongan daya kefahaman dan sebagainya berpaksikan Allah swt yang al-Murid, al-‘Alim, al-Khabir, al-Hakim dan al-Qadir.

c. Sains Islam masih memasukkan peranan Allah swt ke dalam segala aktiviti saintifiknya. Allah swt tetap berperanan sebagai penyebab pertama (the premier cause) dan selainNya itu adalah penyebab pelaksana sahaja (secondary cause). Jadi alam metafizik Islam sangat penting bagi merealisasikan dan menyelesaikan banyak permasalahan sains dan Teknologi serta adab-adab kemanusiaan di bumi.

d. Sains dan Teknologi adalah sebagai alat instruments atau tools atau means, bukan matlamat kerana matlamatnya yang hakiki adalah keredaan Allah swt (mardatillah – favor of Allah). Dengan sikap ini dapatlah manusia berabdi diri kepada Allah swt menggunakan sains dan teknologi. Kedua-dua keperluan material, dunia dan akhirat dapat dicapai dengan jayanya di dalam Islam.


e. Hakikat kebenaran sains dan penggunaannya wajarlah berpandukan kepada Syariat dan akhlak Islam. Kerana Umat Islam bertanggungjawab ke atas baik buruk kesan saintifik ke atas manusia dan alam raya di hadapan Allah swt di mahsyar kelak.

f. Matlamat sains Islam ialah membuktikan keagungan Ilmu Allah swt (al-Hakim dan al-Murid) dan kepandaian pencipta dan kemurahan bimbingan dan petunjukNya mejadikan manusia insan yang berakhlak dan layak menjadi khalifah di bumi.

Kesan daripada penerimaan ciri-ciri Sains dan Teknologi mengikut acuan Islam, dapatlah digambarkan bahawa wujud keserasian antara sikap-sikap agama Islam dengan aktiviti-aktiviti keintelektualan (relgious-intellectual synchronized and congruency) yang membawa kepada pembelaan Islam terhadap dunia akademik dan sains dan teknologi tanpa kompromi. Islam itu adalah kebenaran Sains dan Teknologi dan keindahan nilai dan anutan hidup beragama serentak, bukan amalan peyimpangan materialistic dan secularism peradaban Dunia barat di dalam keilmuan psuedo-sciences mereka.

3.2.2 Metodologi Sains Islam (MSI)

Oleh kerana sifat sains Islam tidaklah terhad kepada positive aproaches semata-mata, malah hakikat kebenaran ilmu Islam itu berbagai sifat dan latar belakang. Lalu penerimaan teori Ilmu yang beraneka kaedah; pena’kulan dan bimbingan wahyu (Osman Bakar, 1991:40) melibatkan kajian terhadap kebendaan (material) dan kerohanian serta kejiwaan (spiritual), adalah suatu yang tabi’e bagi Sains Islam. Rasional itu jelas dengan fakulti penerimaan ilmu Islam juga terdiri daripada Rasional dan kajian emperikal, melibatkan pancaindera dan akal fikiran serta Kognisi dan Intuisi, melibatkan pemahaman hati (ulu al-albab) dan kejiwaan manusia yang berinspirasi imaginatif (ahl al-haqa’iq – ‘irfan atau gnosis).

Hakikat Metodologi Sains Islam (MSI) ini dapatlah dibincangkan seperti berikut:

1) Kaedah Pena’kulan dan Wahyu Tuhan (Rationality and Cognitive Revealation)
2) Pemerhatian dan Ujikaji (emperical and verifying)
3) Kaedah Rasional dan Objektif (Rationality and Accuracy)
4) Kaedah Analisis – Analytical Method dan

Kaedah Sinthesis – Synthetical Method

3.2.2(a) Kaedah Pena’kulan dan Wahyu – Rationality and Cognitive-Revelation.

Mengkaji dan memahami alam benda daripada bimbingan wahyu kepada para Anbiya’ agar dapat disibarkan dan dipraktikkan oleh manusia. Makna dan logika yang dianjurkan oleh al-Quran memang bersifat ilmiah dan saintifik kerana ia membawa mesej dari yang Maha mengetahui dan ia akan menghuraikan keilmuanNya kepada manusia dalam setiap baris wahyu Allah swt yang diturunkan kepada manusia. Ada kalangan yang memahami isu-isu keilmuan kebendaan dan ada pula yang memahami isu-isu keruhanian keagamaan Islam secara menyelruh. Inilahlah hakikat bahawa al-Quran adalah kitab al-Hidayah, bukan kitab saintifik atau ensiklopaedia.

Jadi Wahyu banyak membantu manusia melalui para Rasul dan Nabi-Nabi terdahulu di dalam kitab-kitab Allah swt untuk memahami persoalan alam raya, manusia, ilmu pengetahuan, alam ghaib dan sebagainya memungkinkan mereka membina peradaban dan ketamadunan untuk manusia sejagat. Warisan kaedah pena’kulan dan wahyu ini berterusan dari bangsa ke bangsa, generasi ke generasi.

3.2.2 (b) Kaedah Emperikal dan Ujikaji (emperical and verifying methodology)

Dalam Sains Islam, pendekatan Emperis (pemerhatian) dan ujikaji (irjaa‘ tabsir) ini telah digunakan secara meluas dan seiring dengan metodologi saintifik yang lain. Metod ini agak menonjol di arena saintifik, walau bagaimanapun ianya telah di asaskan oleh umat Islam dalam kajian emperis terhadap bidang Sains Tabi‘ie dan Sains Sosial. (Osman Bakar, 1991:31)

Sebelum Roger Bacon (1214-1294), pengasas Kaedah Emperis Eropah di bidang sains tabi‘ie, senarai pengamal Emperis Muslim telah didahului oleh Muhammad ibn Zakariya al-Razi (865-925) di dalam bidang Kimia praktikal yang menemui beberapa proses tindak balas kimia yang baru dan mencipta radas-radas saintifik Kimia dan Teknikal. Ilmuan fizik Muslim seperti Ibn Sina (980-1037), Abu Raihan al-Biruni (965-1039), Ibn al-Haitham (965-1040) telah melakukan eksperimen mereka tentang Atmosfera dan Cahaya; gerakan pantulan, pengukuran pusat graviti dan pengukuran berat tertentu sesuatu objek dan juga eksperimen di dalam bidang mekanikal dan hidrostattik. (Osman Bakar, 1991: 39).

3.2.2 (c) Kaedah Rasional dan Objektif

Kaedah Rasional ialah suatu kaedah berfikir sistematik ketika mengemuka dan mempertahankan konsep-konsep dan teori-teori yang boleh diterima akal dan memenuhi syarat-syarat logika (‘ilm al-mantiq) yang rapi. Kaedah logika dalam sains sering dikaitkan dengan Aristotelian Logic di dalam Organon. Tokoh Failasuf Muslim terawal al-Farabi (c.10M) mengkaji dan meminda Logik Aristotles, Categoria kepada ‘ilm al-mantiq al-suriy’ – gambaran konseptual dan ‘ilm mantiq al-maddiy’- logika di bidang ilmu praktis, teknikal, Arithmatik dan Muzik. ‘Ilmu Mantiq ini meluas digunakan di dalam perbahasan Kalam dan kaedah perlaksanaan hukum hakam Syariat Islamiah seperti al-Qiyas dan al-Ijtihad.

Islam mengajar berfikir secara objektif dan tidak mengizinkan memiliki dan memahami kebenaran secara relatif. Garis kemunasabahan diukur mengikut sesuatu disiplin ilmu pengetahuan; untuk menilai andaian emperis, lalu hanya metod emperikal sahaja yang lebih objektif digunakan dan sebaliknya untuk menilai sistem ilmu ketuhanan maka kaedah Kognitif-Wahyu (metaphysics – ‘ilm al-Ilahiyah) yang layak digunakan untuk mencapai tujuan objektif ilmu tersebut. Begitu juga Islam menetapkan kategori benar salah mengikut tingkat episteme yang jelas seperti Syakk, Wahm, Sahih, Nyata (sarih), Yaqin (‘ilm) dan Thabat (bukti konkrit) dan sebagainya. Kajian ini sangat penting mempastikan penemuan itu adalah sains benar atau sains palsu – ensuring that are either real sciences or psuedo-sciences.

3.2.2(d) Kaedah Analytical dan Synthesis

Kaedah Analisis bererti memecahkan persoalan-persoalan sains secara terperinci sehingga menghasilkan banyak data dan maklumat. Hasil perolehan ini akan dirumuskan untuk mendapatkan suatu penemuan atau pandangan baru yang terpilih, terkini dan terbaik.

Sinthesis adalah suatu kaedah saringan dan gabungan antara penemuaan-penemuan yang berbeza, tetapi memiliki kesatuan menyeluruh pada paksi ilmunya – the synthesization about the fundamental of knowledge in certain science or technology. Lalu proses penyesuaian dengan dasar-dasar ilmu Islam dan penemuan terkini dilakukan bagi menghasilkan suatu penemuan ilmu baru. – an adaptations accordingly to the Islamic framework and recent findings towards the emergence of new sciences.

Sebagai contoh aliran falsafah pemikiran perubatan Galen’s Theoretical Enterprise dan Hippocrates Clinical Practices di gabungkan dan disaringkan menjadi suatu aliran terkenal perubatan Islam oleh Ibn Sina dan rakan tokoh-tokoh perubatan Muslim. Ilmuan Muslim menggunakan lebih daripada satu kaedah saintifik di dalam kajian mereka kerana, perbezaan kaedah berlaku kerana perbezaan tahap dan jenis ilmu sains dan teknologi tersebut, malah ianya saling lengkap melengkapi. Al-Biruni (973-1048) menggunakan kaedah sepadu dan keserasian untuk mendapatkan gambaran tepat tentang realiti sesuatu disiplin ilmu pengetahuan.

4. Kepentingan Sains dan Teknologi dalam Islam;

Dalam kurukulum Pendidikan Islam, sains dan teknologi sama pentingnya (fardhu kifayah) dilihat dari konteks kewajaran dan kewajipan umat terhadapnya, dibandingkan dengan ilmu-ilmu al-Diniyyah yang disifatkan sebagai asasi (fardhu ‘Ayn – tiada tukaran ganti kepada individu itu jika tidak melaksanakannya menjadi tanggung jawab peribadi) seperti ‘ulum al-‘aqaa’id – ilmu Aqidah Islamiah, ‘uluum asy-syaraa‘ik – ilmu perundangan dan fiqih Islami, ‘ulum al-khuluqiyyah – ilmu akhlak Islamiah berserta dengan ‘uluum masaadir wa ummahaat al-kutub al-Islamiyyah - ilmu-ilmu mengenai sumber-sumber rujukan dasar Islam iaitu al-Quran dan al-Ahadith an-Nabawiyyah serta tafsiran-tafsiran dasar daripada agama Islam melalui peningggalan ulamak Islam terdahulu dan diiktiraf keseluruh dunia Islam hasil ulasan dan pandangan serta ijtihad mereka – muktabarat min asy-Syuyuukh di dalam bidang-bidang tersendiri (berotoriti di bidang masing-masing).

Maka oleh kerana sains dan teknologi ini merupakan ilmu Allah swt, yang bersifat rasional dan saintifik, emperikal dan realistik, berkaitan dengan kecerdasan akal insan dan melibatkan pengkajian dan penyelidikan umat manusia, maka al-Quran dan al-Sunnah tidak memberikan fokus terperinci terhadapnya. Walau bagaimana pun ajaran Islam menurunkan beberapa prinsip dasar ilmu-ilmu tersebut di sana sini sama ada di dalam al-Quran mahu pun al-Sunnah al-Nabawiyyah. Perlu diingat di sini, bahawa Islam tidak bersifat Autokratik dalam menentukan kebenaran sains dan teknologi umat. Malah Islam meletakkan beberapa dasar-dasar hukum khusus dan umum – general and specific principles of jurisprudence (Qawaa’id al-‘aam wa al-khaas) untuk memperolehinya dan melaksanakannya agar tidak bercanggah dengan kepentingan pembangunan dan kemakmuran muka bumi seperti yang dikehendaki oleh Allah swt, pencipta agung alam raya ini. Contohnya di dalam membangunkan teknologi nuklear, Islam tidak melarang manusia menyelidiki dan menguasai punca dan sumber tenaga dari pengkayaan Uranium untuk kegunaan dan faedah-faedah teknologi untuk memiliki tenaga elektrik, teknologi perubatan, bio-teknologi serta kegunaannya di bidang pertanian dan sebagainya. Prinsip dasar Islam ialah agar teknologi ini digunakan secara betul, berilmu serta dengan pengawasan teknologi tinggi agar tidak berlaku kebocoran, kehancuran dan kebinasaan total terhadap manusia dan alam sekitar (lihat surah ar-Ruum, 30), di mana Allah swt menggunakan istilah “Dzahara al-fasad fi al-barri wa al-bahri bima kasabat aydi an-Nass” – muncul kebinasaan total di muka bumi dan di lautan disebabkan kerja tangan manusia, agar mereka merasai keperitannya supaya mereka kembali kepada Allah swt – iaitu prinsip ilmu pengetahuan dengan meninggalkan ketamakan syahwat dan keutamaam kebendaan (materialistik) semata-mata. Cara mengelakkan kerosakan itu juga berkait rapat dengan sains dan teknologi perlindungan dan kawalan sains, teknologi dan industri di kalangan umat Muslimin.

Umat Islam diwajibkan oleh Allah swt untuk membangunkan aspek-aspek yang semulajadi mereka dan menggunakan potensi-potensi keperluan yang sesuai dengan mereka. Unsur pembangunan material dan keruhanian adalah selaras dengan unsur kejadian manusia dual-nature iaitu jasad dan ruh. Maka sasaran keilmuan mereka Allah swt telah anugerahkan dua fakulti yang maha hebat iaitu – rational cognative faculty and inspired cognative faculty, iaitu fakulti akal rasional (human intellect) dan fakulti intuisi jiwa insan (the psychological of human soul). Maka akal rational sangat peka kepada bahan-bahan kajian emperikal dan intuisi kejiwaan insan sangat peka kepada hati sanubari atau nurani yang mnerima ilham dan kefahaman dari Allah swt (nuuriLlah). Gabungan kedua-duanya memberikan suatu bentuk ilmu sepadu – integrated knowledge and sciences yang akan memberi kekuatan kepada manusia Muslim di dunia untuk memimpin umat manusia di dunia mahu pun untuk keselamatan di akhirat.

4.1 Tuntutan mengkaji sains dan teknologi

Perbezaan ketara antara Islam dan agama-agama lain, ialah menganjurkan kajian dan penyelidikan secara terbuka terhadap bidang kuasa yang termampu oleh akal fikiran mengkajinya agar memperolehi sesuatu hakikat atau makna yang tepat dan jitu terhadap sesuatu objek perkara atau fenomena kejadian di alam raya ini.
Tradisi al-Quran dari Allah swt membuka minda manusia untuk berfikir dan mengkaji kejadian di langit dan di bumi agar bertambah peranan akal rasional dalam meneliti hakikat kaejadian Ilahi di hadapan mata mereka, kemudian Allah swt mendorongkan jiwa halus serta perasaan fitrah mereka mengiktiraf kehebatan Ilmu dan teknologi Maha pencipta yang terbentang secara konkrit untuk kegunaan dan faedah manusia. Kajian terhadap kaifiyatu al-‘asyyaa’, - bagaimanakah terciptanya sesuatu perkara itu, adalah merupakah cabaran kepada pemikiran kreatif and inkuiri manusia secara berdepan dan tidak berselindung menguji dan mencabar minda manusia untuk dikenalpasti kapasiti antara ilmu Ilahi dan ilmu anugerah kepada manusia yang sedikit sahaja.

Firman Allah swt yang bermaksud : “Apakah tidak engkau perhatikan kepada unta, bagaimanakah ia diciptakan? Dan kepada langit, bagaimanakah ianya ditinggikan?. Dan kepada gunug ganang, bagaimanakah ia dipasakkan?. Dan kepada bumi, bagaimanakah ianya dihamparkan?. Maka (engkau wahai Muhammad saw) berikanlah kepada mereka peringatan. Sesungguhnya engkaulah pemberi peringatan.”

Kaitan mengetahui kaifiyat dan zkirullah adalah dua kata epistemologi yang sangat unik dan hebat bagi manusia yang memahaminya. Kaifiyat merujuk kepada kepakaran teknikal dan teknologi dalam menguasai alam material, manakala zikrullah pula adalah kepakaran menguasai kesedaran dan perlaksaaan tunduk dan sujud kepada Allah swt serta beribadat dengan kemahiran teknikal yang manusia terima dari Allah swt. Inilah keindahan dan keunikan rangka dasar kepada sains dan teknologi Islam (the fundamental of Islamic Framework in science and technology) di kalangan masyarakat umat Islam untuk umat manusia seluruhnya.

Allah swt meninggalkan kebijaksanaan mengolah dan mengendalikan urusan kebendaan dan teknik memakmurkan alam ini kepada akal fikiran manusia, maka mencari jalan mendapatkan hakikat sebenar sesuatu objek perkara secara kajian giat, bertungkus lumus, berfikir serta merenung punca kejadian (ontologikal), saluran ilmu Allah swt (epistemologikal) kepada manusia, kaedah-kaedah saintifik (scientific methodology) yang sesuai untuk menuai ilmu dan sesuatu teknologi untuk kegunaan manusia, mencari ukuran nilai kesahihan dan keakuratannya (the ultimate truth or relatively) dan nilai kemuliaan dan ketinggiannya budinya (virtuous and justice in knowledge) yang terdapat pada sesuatu disiplin sains dan teknologi. Maka Islam meletakkan ilmu pengetahuan dan teknologi serta kejuruteraan sesuatu bidang sebagai cabang kebijaksanaan minda insan serta kepakaran profesionalma dan juga menjaga keaslian nilai kebenaran dan keadilan ilmu itu sebagai kemuliaan jiwa yang berkait rapat dengan ketundukan diri serta pengabdian diri kepada pencipta sehingga mencapai maqam al-taqwa atau muttaqin (sebaik-baik kedudukan insan di sisi Allah swt). Mengambil kira kedua-dua posisi ilmu dan teknologi Islam inilah, maka Islam mengarahkan Umatnya mengausai ilmu sains dan teknologi sebagai suatu kebijaksaaan umat yang hilang, dan merekalah yang berhak serta wajar menguasai dan mengaplikasikannya untuk kesejahteraan umat. Baginda saw bersabda bermaksud: “Kebijaksanaan itu adalah harta penignggalan umat Islam yang tercicir, maka ambillah ia dari mana sumber yang ditemui, bahkan kamu lebih berhak terhadapnya.” – [al-hikmatu dhaallatu al-mu’minin, khuz min haithu wajada fahuwa ahaqqu biha ] dalam riwayat lain [al-hikamatu dhallatu al-mu’minin, khuz min ayyu wi‘aain kharajat, fa huwa ahaqqu biha]. Jelas dari hadith itu bahwa umat Islam lebih tahu dan berhak untuk membangunkan sains dan teknologi berbanding golongan kafir, kerana mereka memiliki neraca keadilan dan kesahuihan ilmu Allah swt ketika mebangunkan dan memakmurkan bumi Allah swt ini.

Tambahan pula di dalam al-Quran allah swt telah mengisyaratkan kepada umat Islam bahawa hanya mereka yang mampu menyelesaikan masalah kegawatan peradaban insan di muka bumi ini. Firman Allah swt yang bermaksud : “ Dan sesungguhnya kami telah catatkan di dalam az-Zabuur (kepada Nabi Daud a.s.) kemudian kami ulangi di dalam al-Quran yang dikenali sebagai “az-Zikr” – sebuah peringatan, bahawa sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh kalangan hambaku yang soleh”. Kata kerja untuk masa sekarang dan akan datang (fi‘lun mudhari‘ - continuous and future tense) – anna al-‘ardha yarithuha, adalah suatu janji Tuhan kepada Umat Islam di mana-mana masa sekali pun untuk bekerja keras menguasai sains dan teknologi di zaman mereka sehinggalah Allah swt menentukan masanya yang sesuai untuk kembali memimpin muka bumi Allah swt dengan kemajuan dan kemodenan serta penegakan Syariat Allah swt.

4.2 Peranan sains dan teknologi Kesan pengabaian sains dan teknologi;

Antara peranan yang dimainkan oleh sains dan teknologi serta peyelidikannya ialah;

4.2.1 Membantu manusia mengenal Pencipta

Sains dan Teknologi serta penyelidikan menghantar penyelidik-penyelidik, ke dasar atau punca ilmu Allah swt atau ke persisian keagungan Ilahi al-‘Alim, al-Hakim dan al-Khabir. Tajuk kajian (subject matter), itu dilihat sebagai tanda-tanda keagungan Allah swt (the sign of souverengnty Allah) di alam raya yang tersusun rapi dan unik. Untuk memahami hakikat inilah, Allah swt dengan perantaraan al-Quran al-Karim, menyebut tidak kurang dari 750 ayat menjelaskan fenomena saintifik yang terdapat di alam raya ini. Menyingkap fenomena ini, bererti manusia telah berinteraksi dengan nama-nama Allah swt dan sifat-sifatNya yang maha tinggi dan mulia secara langsung dan praktikal. Inilah maksudnya sains dan teknologi membawa manusia menerima dan mengiktiraf keagunganNya (accepted and acknowledged) dan beriman serta tunduk di bawah peraturan Allah swt sebagai seorang Islam – aslamna lillah Muslimin.

4.2.2 Memandu manusia mencapai Tawhid

Sains dan Teknologi menghuraikan prinsip KeEsaan Ilahi (tawhid) yang terzahir pada struktur-struktur kejadian alam tabi‘ie. Alam raya berada di dalam kesatuan wujud; iaitu saling berkaitan (integral), harmoni (synchronized), mengkagumkan (amazement), sistematik dan penuh ketertiban (orderly) dan kesempurnaan (perfection). Kesatuan inilah dibongkar oleh sains dan teknologi sepanjang kajian para penyelidiknya. Ketika diajukan pertanyaan adakah alam beroperasi sendiri?, penafiannya pastilah mengundang kuasa pencipta menggantikan keunggulan dan ketaajuban ‘ilmu pengetahuan terhadap alam raya. Maka saintis dan teknokrat terpaksa akur bahawa KeEsaan (tawhid) Allah swt sahaja mampu mencetus dan menghasilkan segala bentuk kekaguman pada penemuan saintifik dahulu, sekarang dan akan datang (contemporary sientific discoveries).

Prinsip Tawhidlah dasar kewujudan, ia berakar umbi di setiap tingkat kewujudan, sejak di alam metafizik sehingga ke alam raya, daripadanya terasaslah sains sehingga ke pringkat ketamadunan dan daripada kewujudan manusia sehinggalah ke hari pembalasan. Maka itulah ruanglingkup tawhid yang menjana kepercayaan dan amalan di kalangan manusia dan jinn. Ianya bukan sahaja hakikat alam raya dan segala ilmu mengenainya, bahkan Tawhid adalah jiwa kemanusiaan dan Jinn yang tunduk kepada kuasaNya dan menjadi hambaNya.

4.2.3 Menegakkan Keadilan dan Kebenaran

Sains dan Teknologi berperanan meyakinkan manusia tentang hakikat sesuatu subjek alam fizik atau material dengan kebenaran positif dan objektifnya. Inilah kebenaran saintifik yang perlu dipertahankan. Dalam sains Islam, tugas ini dibuat kerana Allah swt yang mencetuskan kebenaran daripadaNya (huwa al-Haqqu), jadi kebenaran saintifik juga adalah kebenaran dari Allah swt, kerana itulah hakikat kebenaran aturan Allah swt yang telah ditemui, difahami dan dikuasai minda dan intelek manusia, lalu diaplikasikan dalam bentuk teknologi dan industri. Kebenaran saintifik adalah kebenaran yang Allah swt izinkan berada dan dimiliki manusia untuk memakmurkan alam. Oleh kerana itulah mempertahankan keadilan ilmu pengetahuan dan kebenarannya adalah jihad dan mati kerananya adalah mati syahid di jalan Allah swt. Matyrs – Syahadat fi SabiliLlah.

Menegakkan kebenaran dan keadilan sains dan teknologi adalah sangat perlu untuk keperluan intelek manusia, demi keperluan profesional, kemajuan dan kemakmuran, merealisasikan penghayatan Islam sebagai al-Din syamil dan menghapuskan penyelewengan Jahiliyyah.

4.2.4 Mengingati Kebesaran Ilahi Tafakkur (Contemplation or Inference )

Sains dan Teknologi yang berpandukan wahyu akan mendorong ke arah renungan, kesedaran tabi‘ie akal dan pengiktirafan kekuatan unsur ciptaan alam raya yang disandarkan kepada Allah swt. Sains dan Teknologi ini mengekalkan ingatan kepada Allah swt (dawam al-dhikr), mencetuskan keseriusan berfikir tentang ciptaanNya (tafkir fi khalq), mengetahui kebaikan tujuan ciptaan (‘adam al-butlan), mengkuduskan Allah swt (tasbih – glorify be to Allah swt) dan mengharapkan keampunan dan terhindar daripada hukuman terhadap dosa kesalahan (repentence and avoid punishment) dan kecuaian ilmu pengetahuan dan pencapaiannya.

Kejadian langit dan bumi, ketika ditinjau secara saintifik dan berteknologi tinggi kuniaan Ilahi, akan terserlah suatu keagungan dan kekaguman pada rahsia seni, halus dan rapinya ciptaan yang maha berilmu pengetahuan, Dialah Allah swt. Inilah yang disebut sebagai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah swt kepada para penyelidik dan saintis serta teknokrat. Perkataan ‘alamun adalah juga ‘alamaat yang bermaksud simbol kekuasaan Tuhan di alam raya, jadi universe itu adalah tanda-tanda tercernanya ilmu Allah swt dengan seluruh sifat-sifat kebijaksanaanNya dan kesempurnaanNya. Dengan penyelidikan dan penemuan Sains dan Teknologi sahaja semua ini akan terbongkar dan terserlah kebenarannya.

4.2.5 Membantu Menguasai Unsur Material (al-sultan wa at-ta‘abbudiy)

Dengan memahami unsur kejadian manusia daripada jasad, ruh dan akal, sains dan teknologi yang dicapai oleh akal fikiran dan jiwa manusia berfungsi antaranya memenuhi keperluan jasad dan hawa nafsu manusia. Antaranya yang menonjol ialah bagaimana teknologi dimajukan untuk kerja-kerja besar dan teknologi tinggi yang sukar dilakukan tanpa adanya teknologi seperti pembinaan bangunan, penciptaan kenderaan dan pesawat pengangkut dan penumpang untuk manusia berniaga dan berkomunikasi dalam urusniaga daripada tempat-tempat yang begitu jauh.

Islam sebagai al-Din yang syamil (menyeluruh), telah membimbing sains dan teknologi ke arah tunduk kepada pencipta sekalipun dalam memenuhi keperluaan hidup manusia. Oleh itu Islam memerlukan teknologi yang mesra alam (environment friendly), selamat dan mendamaikan dari aspek keindahan dan ketinggian mutu teknologi dan industrinya (artistic and harmony), dan mampu membawa rahmat dan kasih kepada manusia (mercy to all humankind). Contohnya bagaimanakah umat Islam mencapai teknologi empangan untuk pengairan, teknologi haidrostatik, teknologi percetakan dan penggunaan kertas, kemajuan teknologi astrofizik sehingga menghasilkan jadual-jadual pergerakan planet dan bintang-bintang dan tak dapat dinafikan teknologi kejuruteraan sivil di dalam penyelarasan iklim musim dingin dan panas pada sesuatu binaan serta teknologi akustik-audio di mesjid-mesjid yang besar tanpa peralatan pembesar suara.

4.2.6 Membantu Perlaksanaan Syariat Allah swt

Perkembangan Sains dan Teknologi di dalam Islam banyaknya digesa oleh keperluan memenuhi tuntutan Syari‘at Allah swt terhadap pemodenan dan kemajuan manusia. Oleh kerana segala aktiviti pembangunan itu ditinjau dan dikendalikan berdasarkan Syari‘at Islamiah, maka sains dan teknologi berkhidmat langsung untuk menjayakan perkembangan Syari‘at Islamiah ke arah yang lebih cemerlang. Disamping itu Sains dan Teknologi dalam Islam menumpukan juga ke arah pembangunan mental, psikologi dan ruhaniah. Hal ini dapat diterjemahkan ketika membangunkan keselesaan tempat tinggal, perlu mengambil kira faktor kejiranan, pusat pengibadatan, rekreasi, pengudaraan strategik dan kemudahan trafik yang selamat. Begitu juga di dalam sektor perindustrian, Islam menekankan sangat aspek keselamatn, tidak mencemarkan alam sekitar, selamat dari pencemaran bunyi dan toksid serta tidak membahayakan penghidupan masyarakat sekitar. Tegasnya kemajuan bukanlah alasan untuk manusia mengorbankan segala kebersihan, keharmonian dan kesejahteraan manusia yang akan memberikan kebahagiaan dan keselesaan hidup di kota maupun di desa. Itulah kawalan Syari‘at Allah swt terhadap kebajikan manusia dan alam sekitar di sesebuah negara Islam yang maju.

4.2.7 Memenuhi Kecapaian Hakikat Keindahan Islam. (virtuous aesthethical
refinement in Islam).

Keindahan dan kesempurnaan adalah terjemahan atau manifestasi Tuhan dengan segala keilmuan, kepakaran dan kesempurnaanNya mencipta alam raya yang tidak tercela sedikit pun. Malah sebenarnya manusialah yang tidak mampu menjaga keaslian kejadian alam ini. Jadi Umat Islam sangat mengahrgai keindahan yang sedia dijadikan Allah swt dan cuba semampu munkin menjaga dan memelihara keindahah Allah swt di dalam dsegala aspek sains dan teknologi.

Jelas sekali bahawa umat Islam tidak sahaja mengindahkan mesjid-mesjid mereka, malah pusat sains dan observatorium serta perpustakaan-perpustakaan besar di dalam kerajaan dan keagungan Islam di hiasi di luar dan di dalam bangunan tersebut bagi mempamirkan kualiti ketinggian keilmuam Umat Islam dan keindahan yang mereka sempat warisi dan diwariskan daripada keimanan, pengabdian (‘ubudiah) dan tata moral mereka terpahat dan terbutkti di mana-mana ruang keilmuan dan peradaban Umat Islam. Maka sains dan teknologi juga sebahagian daripada kegiatan keindahan umat Islam yang pahatkan ukiran seni (crafts) itu sejak dari kulit-kulit buku sehinggalah kepada pembinaan monumen istana-istana dan mesjid-mesjid umat Islam.

Seni Keindahan ini lahir dari dalam jiwa umat Islam yang halus, berilmu pengetahuan dan sangat memahami erti dan makna-makna kehidupan di dalam setiap bidang yang mereka terokai. Mereka tidak bersifat jahil ketika membina dan memajukan sesuatu rekaan dan ciptaan, melainkan hendaklah dipersembahkan berdasarkan fungsinya yang universal dan mampu mencapai hakikat dan tujuan asal kewujudan sesuatu teknologi berdasarkan ilmu Allah swt tentang manusia dan alam raya. Inilah suatu keindahan dalam kesatuan keagungan Ilahi yang dikuasai oleh hambaNya di mana sahaja mereka berada dan mencapai kemajuan.

5. Kesan Pengabaian Sains dan Teknologi Umat

5.1 Pendahuluan

Setelah 600 tahun umat Islam menguasai gelanggang ilmu pengetahuan dan membina peradaban kemanusiaan di pelusuk dunia, maka disebabkan faktor-faktor politik, keruntuhan keintelektualan, asabiyyah qaumiyyah, fanatik keilmuan sempit, kelemahan kepimpinan, kehilangan kekhalifahan umat, tumpuan duniawi dan kebendaaan dan mengkesampingkan ruh kesepaduan Islam dalam budaya baru sebelum dan selepas penjajahan seperti sekularisme, materialisme, liberalisme, nihilisme, atheisme dan naivisme dan sebagainya inilah menjadi alasan kuat mengapa sains dan Teknologi tidak lagi dimajukan di negara umat Islam ratusan tahun mutakhir ini. Ruang ini tidak bermaksud memperkatakan faktor-faktor tersebut, malah ingin meninjau akibat pengabaian sains dan teknologi umat Islam selama kurang lebih 800 tahun kebelakangan ini.

Antara akibat yang dilanda oleh umat Islam ialah;

1. Aliran Intellektualisme arus perdana dijuarai oleh “aliran sekulrisme” yang telah mengasingkan rangka ilmu teknikal dan profesional dari keagamaan serta aturan Syari‘at untuk kemanusiaan. From sacral to profanity of substantial ideology.

2. Falsafah Ilmu “the epistemology of knowlegde” telah berubah arah dari kesatuan ilmu dan teknologi dalam falsafah Ketuhanan, Manusia dan Alam raya – Monotheistic Realistic Rationalisme kepada rangka “Dialectic Rationalisme” atau “Idealistic Materialisme”

3. Umat Islam hilang kekuatan Qurani “al-sultan” di dalam arena ilmu pengetahuan dan teknologi, ekoran itulah pandangan dan hujjah umat Islam diketepikan kerana ketiadaan Authoriti pada sudut pandangan sains moden. Begitu juga dengan kekuatan “Ruh Ta‘abbudiy” apabila gelanggang Syari‘at Law telah digantikan dengan Common Law milik tuan tanah jajahan di negara-negara umat Islam.

4. Sistem pembinaan peradaban dan ketamadunan mengikut skema “materialistic secularism” yang bernafaskan “tecnocrate, profesionalism dan utilitilianism”. Sumber manusia dan etika mereka dibina di atas dasar “ethics without religion”. Kerana itulah etika kerja industrialis hanya untuk memkasimumkan keuntungan dan produktiviti.

5. Kelahiran Saintis Pemikir dan kesarjanaan Ilmuan soleh tidak menjadi fokus peradaban masa kini. Umat Islam tidak cuba keluar dari “rangka sains moden dan teknologi” yang ada, maka tidak perlu berfikir untuk alternatif pembangunan saintifik, kejuruteraan dan industri masa depan.

6. Umat Islam akan mengulangi kesengsaraan akibat dari kemajuan sains dan teknologi moden dari sudut keruhanian dan keagamaan serta kebahagiaan kehidupan kemanusiaan, kerana teknologi tidak ditundukkan kepada situasi pengabdian diri kepada Allah swt dan syaraiat Islam, semakin maju semakin tawadhu‘ dan tunduk sujud bersyukur kepada Allah swt agar ditambah keberkatan dan keuntungan serta kebahagiaan warganya.


7.Wajar umat Islam sedar bahawa kesan Peradaban barat ke atas umat Islam, sangat menguntungkan satu sudut kebendaan dan pembangunan. Namun akibat pencemaran dan pengaplikasian teknologi tidak bermoral cukup menyiksakan umat manusia. Harus timbul kesan dan tanggung jawab agar Umat Islam berkerja kuat dan berjihad untuk bangunkan semula “Sains dan Teknologi serta perindustrian Musllim” yang universal sifatnya untuk manusia menikmati kemajuan dan kebahagiaan spritual di dunia dan akhirat.

Penutup

Menginsafi umat Islam ketinggalan di dalam banyak perkara, janganlah ianya menyebabkan “fatalisticism”, sebaliknya sebagai umat Islam yang berfikiran positif, dan optimistic bahawa mereka harus bangkit bukan hanya untuk mengatasi masalah peribadi, tetapi menyedari tanggung jawab besar dari Allah swt ke atas umat Isam itu adalah keKhalifahan di bumi, maka penguasaan sains dan teknologi umat adalah kewajipan jihad yang menjadi prioriti perdana di dalam hidup umat Islam di milenium akan datang.

Ingatlah janji-janji Allah swt, umat Islam akan dimenangkan ke atas budaya dan tamadun barat bukan dengan tidak berusaha. Malah wajib mereka berusaha lebih giat dan bangkit segera di dalam situasi tamadun barat mencari arah kembali kepada beragama di dalam membina peradaban dan nilai baru pasca modenisasi mereka. Biarlah janji-ianji Islam itu dihayati dan tetap menjadi janji-janji kemakmuran bersama dengan bangsa dan agama-agama lain agar mendokong suatu rangka “New framework of Islamic Science and the future technology for the human universal civilization.”

5. Sejarah Sains dan Teknologi Islam;

5.1 Sejarah sains dan teknologi zaman nabi-nabi dan umat terdahulu

Pendahuluan

Sejarah membuktikan bahawa Islam melahirkan Ilmuan dan saintis serta failasuf di berbagai bidang sains dan teknologi. Melahirkan masyarakat saintifik dan teknokrat dan menjadi dasar kepada bangsa barat memajukan peninggalan sains Islam sehingga melahirkan sains dan teknologi moden serta peradaban Barat dan Eropah masa kini.

Sains dan Teknologi Zaman Anbiya’

Para anbiya’ Allah swt diturunkan dengan dua bahagian ‘ilmu pengetahuan; 1) ‘Ilmu Syari‘at – Aqidah, Syariat dan akhlak Islam dan ‘alam metafizik (alam al-ghayb). 2) ‘Ilmu Duniawiy – Sains kemanusiaan, ekonomi, pengurusan, sains dan Teknologi umat manusia. Oleh itu fahamlah kita bahawa para nabi selain daripada mengajar manusia tentang Islam, ia juga tidak terkecuali daripada memberi bimbingan di dalam masalah perkemangan dan pebangunan sains dan teknologi umat semasa.

Al-Quran pernah merakamkan peranan para anbiya’ di dalam perkembangan sains dan teknologi, antaranya;

a. Nabi Adam a.s.

Oleh kerana Kejadian Adam a.s. untuk menjadi khalifah di bumi, maka Allah swt mengajarnya nama-nama segala sesuatu (asmaa’ kullaha) yang berada di dalam alam semesta ini. Kemudian Allah swt melakukan demonstrasi di hadapan para malaikat dengan menguji bolehkah mereka mengetahui apakah yang diajarkan Allah swt kepada Adam a.s.?. (al-Baqarah, 2:31-32)

Adam a.s. akhirnya mampu menjelaskan ‘ilmu pengetahuan Allah swt itu dan melayakkan baginda menjadi pesuruh Allah swt di bumi serta menghapuskan kesangsian para malaikat terhadap kemampuan Adam a.s. al-Farabi di dalam Ihsaa’ al- ‘ulum (enumeration of the Sciences) menyatakan bahawa ilmu bahasa termasuk di dalam pengucapan atau penuturan (phonetics) dan nama-nama benda termasuk di dalam golongan sains (Seyyed Hossein Nasr, 1970:60). Ibn Athir menyatakan bahawa Adam a.s. diajar oleh Allah swt melalui Jibril a.s., cara-cara menanam pokok dan pertukangan besi. (ibn Athir, 1978:24). Inilah pengetahuan terawal manusia terhadap sains dan teknologi.

b. Nabi Idris a.s.

Nabi Idris a.s. seorang yang bijaksana, luas pengetahuannya dan mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Astronomi (al-Nasr, 1992:64), Matematik dan teknologi binaan (al-sina‘at) (ibn Nadim, tt:333). Pengaruh Nabi Idris a.s. dalam Matematik secara tidak langsung sampai kepada Phytagoras melalui tempat pengajian yang dikunjunginya. Menguasai ilmu Perubatan yang diwarisi daripada Nabi Syith yang telah di terima dariapda Nabi Adam a.s. (Ibn Abi Usaybi‘ah), 1965:18). Ilmu Perubatan berasal daripada penerokaan yang dibuat oleh Adam a.s. yang diterima dari Allah swt, diwarisi kepada Nabi Syith dan dikembangkan pula oleh Nabi Idris a.s.

Sesungguhnya nabi Idris a.s. seorang yang luas ilmu pengetahuan (termasuklah sains tabi‘ie) dan kerana itulah para ulama’ mentafsirkan ayat surah Maryam, 19:56-57 sebagai mempunyai darjat ilmu pengetahuan yang tinggi kerana mempunyai penguasaan yang lebih luas berbanding dengan nabi-nabi yang lain.

c. Nabi Nuh a.s.

Nabi Nuh a.s. telah diarahkan oleh Allah swt untuk membina sebuah Bahtera atau Kapal penumpang yang besar, kerana Allah swt akan menurunkan hujan dan banjir menenggelamkan golongan yang enggan menerima dakwah Nuh a.s. (Bahreisy, 1980:25) Allah swt mewahyukan kepada Nuh agar membuat kapal dengan bantuan petunjuk Allah swt dan wahyuNya.

Ilmu pembinaan kapal ini diwahyukan kepada Nuh a.s. di bawah kawalan (monitoring) ilmu Allah swt. Bentuk sebenar kapal itu telah ditemui di Bukit Judiy, Timur Laut Jazirah Ibn ‘Umar, Wilayah Kurdistan ketika Tamadun Babilonia (al-Maududi, 1973:85). Ia diperbuat dengan menggunakan saduran logam besi, selain daripada menggunakan kayu (Ibn Athir, 1978:39). Panjangnya adalah 300 hasta dan lebarnya adalah 50 hasta seperti mana yang tercatat di dalam Kitab al-Tawrah (Ibn Kathir, 1979:110). Dengan Fakta ini dapat difahami bahawa pembuatannya memerlukan kepakaran sains dan teknologi; iaitu ilmu pengapungan dan teorinya, kemahiran ilmu Matematik dan ilmu teknik seni bina yang tinggi. Jelaslah bahawa sains Matematik, Fizik dan Architecture yang hebat dan teliti telah digunakannya.

d. Nabi Ibrahim a.s.

Ayahnya Azar seorang ahli ilmu bintang dan menjadi wazir kepada Raja Namrud b Kan‘an. Nabi Ibrahim menguasai dan mewarisi ilmu bintang daripada bapanya. Hal ini jelas di dalam al-Quran ketika menggambarkan beliau menyelidiki cakerawala adakah ianya tuhan-tuhan seperti matahari, bulan dan bintang-bintang. Setelah beliau dapati semuanya tidak kekal dan malah luput bersama waktu, tegas beliau bahawa beliau hanya tunduk kepada Tuhan yang menciptakan alam raya dan cakerawala ini.

Allah swt menjadikan Ibrahim a.s. mengetahui tentang ilmu bintang dan menyakini ilmu perjalanan cakerawala seperti pengetahuan bapanya Azar. Tetapi Allah swt menyatakan bahawa ilmu itu telah diwarisi sejak zaman Nuh a.s. lagi. Jadi pengetahuan Ibrahim a.s., merangkumi ilmu keruhanian atau keagamaan dan ilmu keduniaan (material).

e. Nabi Dawud a.s.

Allah swt mengutus beliau sebagai nabi dan rasul, diturunkan kepadanya Zabur, kitab suci yang mengandungi tasbih dan puji-pujian kepada Allah swt, kisah umat-umat terdahulu, berita nabi-nabi yang akan datang termasuklah kedatangan nabi terakhir Muhammd saw. Allah swt mengurniakan kepada baginda nikmat, ketelitian dan kecekalan amal perbuatan, kebijaksanaan dan kesempurnaan ilmu pengetahuan. Allah swt telah mengajar Nabi Dawud a.s., teknologi melembutkan besi (wa alanna lahu al-hadid) dan membolehkan beliau membuat baju besi untuk kegunaan peperangan.

Almarhum Abul ‘Alla al-Mawdudi telah menyatakan bahawa sehubungan dengan fakta ini, para pengkaji Arkeologi mengesahkan bahawa zaman besi bermula pada tahun antara 1200-1000 SM, dan era ini adalah sezaman dengan kenabian Nabi Dawud a.s. (Al-Mawdudi, the Meaning of al-Quran – tafhim al-Quran, Vol.VII, 1977:165). Jelas sekali bahawa nabi berperanan selain daripada menagajak manusia menyembah Allah swt, mereka juga memandu dalam urusan saintitfik dan teknologi umat manusia.

5.3 Penutup

Dalam sejarah peradaban manusia, Islam mengambil sikap yang konsisten dalam menghujahkan kebenaran dan keadilan fakta dan ilmu pengetahuan, bahawa peradaban manusia telah dicetuskan oleh Manusia kalangan para anbiya’ kerana merekalah saluran ilmu Ilahi mewakili manusia. Ilmu itu ada yang menyentuh keagamaan (syari‘at) untuk penghidupan keruhanian manusia dan ada pula yang menyentuh tentang ilmu sains sosial atau tabi‘ie serta sains gunaan (al-‘ulum wa al-tiknulujiyah wa al-sina‘aat).

Dengan demikian dapatlah Allah swt mengarahkan corak pembangunan dan kemajauan seimbang mengikut acuan yang dikehendaki oleh pencipta alam raya, Allah swt. Hasilnya manusia perlu mematuhi nabi-nabi Allah swt dalam mengambil nilai wahyu di dalam segala bidang ilmu bagi mempastikan peradaban di bumi ini berjalanan seperti yang direncanakan oleh Allah swt pencipta dan pengatur alam raya agar alam dan manusia mencapai keharmonian wujud sejagat di bawah penyeliaan yang beriman Khulafa’ al-Mu’minin dan pentadbir yang benar dan pengasih Ruhama’ al-Siddiqin.


5.2 Sejarah sains dan teknologi di zaman Rasulullah SAW (1-11H/622-632M)

Muhammad Rasulullah saw mengajar umat manusia dengan ilmu Syariat dan bimbingan ilmu keduniaan dengan petunjuk Allah swt, selama tidak bercanggah dengan syariat Islam. Bahasa Arab adalah tradisi ilmiah Islam sangat unggul, sangat unggul kerana ianya sangat kaya dengan perbendaharaan kata ilmiah dan saintifik serta menepati hakikat kebenaran. Sekadar contoh perkataan “kitab” – adalah bermaksud himpunan kertas bertulis yang dihimpunkan menjadi satu set. “Ardh” – bererti bumi yang merujuk kepada planet bumi yang cantik kebiruan ini, tempat manusia mendiaminya. Dalam bahasa Inggerisnya “earth”. Perkataan “as-samaawaat” asal dari perkataan “as-samaa’ ” yang bermaksud sesuatu yang berada di atas kepala manusia. Maka segala lapisan yang di atas itulah langit. Dilihat secara saintifik, maka lapisan langit sangat pelbagai bentuk dan lapisan. Jadi kekuatan bahasa Arab di zaman Muhammad saw menjadi dasar dan tapak kajian ilmu pengetahuan dari Ilahi itu bermula dan dikaji oleh manusia dari masa ke semasa.

Dengan itu sekali pun Muhammad saw ummiy (illiteracy), namun baginda menyuruh para sahabat menguasai seni penulisan dan catatan. Kerana itulah perjanjian hudaibiah adalah yang pertama di dalam Islam dicatatkan sebagai khazanah perjanjian perdamaian Islam dan Quraisy, Selain dari itu al-Quran yang dicatat oleh para penulis wahyu rasulullah di kalangan sahabat termasuk Zaid bin Thaabit, Muawiyah Abi sufyan, ‘Uthman ‘Affan dll, Perlembagaan Negara Madinah – sahifah Madaniyyah adalah perlembagaan bertulis yang pertama ditinggalkan Muhmmad saw sebagai sains perundangan bertulis pertama di dunia – the first written constitution in the world.

Dalam peperangan zaman Muhmmad saw memperkenalkan peralatan persenjataan dan teknologi pengaplikasian besi seperti perisai, baju rantai, dan pertukangan besi. Penggalian parit (khanddaq), teknologi perang dari Parsi dan strategi pertahanan pasukan pemanah (al-Rimah). Di zaman Nabi saw manusia sudah kenal dengan mata wang dan ukuran serta sukatan di dalam perniagaan, kerana pasar Madinah telah menjadi pusat perdagangan. Kisah kaedah pendebungaan yang dilakukan oleh penduduk Madinah juga adalah tanda pengaplikasian pertanian untuk mendapat hasil yang lebih lumayan. Kaedah-kaedah pengairan yang disentuh di dalam hadith-hadith Nabi saw menandakan masyarakat menguasai sektor irigasi di dalam pertanaian.

Di dalam bidang diplomatik, Nabi saw telah menggunakan kaedah surat menyurat untuk berhubung dengan penguasa-penguasa Tanah Arab dan Raja-Raja di luar tanah Arab. Nabi saw menggunakan kaeadah “cop mohor negara” sebagai menggantikan tanda tangan baginda dengan sebentuk cincin – beracuankan “Muhammad Rasulullah”.Penguasaan kesasteraan Murni Islam telah berkembang seiring dengan keperluan untuk menjawab dan menangkis serangan ke atas peribadi dan keagamaan Islam. Maka perjuangan Islam tersebut wujud di dalam pelbagai dimensi perkaedahan dan cara untuk menangkan Islam ke atas agama berhala kaum Quraisy.

Dalam bidang penjagaan kesihatan, Nabi saw membimbing umat agar mempunyai budaya pemakanan yang sihat dan pengubatan herba dan amalan pemakanan yang halal dan Tayyibah. Amalan penyembuhan penyakit juga diajar oleh nabi dalam himpunan hadith-hadith pengubatan yang kemudiannya dihimpunkan oleh ulamak kemudian sebagai “at-Tibbu an-Nabawiy” – Pengubatan Nabi saw karangan ibn Qayyim al-Jauziyyah.

Struktur kota sangat jelas dengan terbentuk kota Madinah sebagai suatau bentuk perbandaran seluas pagar Mesjid Madinah di Zaman moden. Pembinaan Mesjid, perumaham, Bazzar atau pasar-pasar yang dipusatkan dengan Mesjid al-Nabawiy. Begitulah juga lokaliti yang terdapat pada pelan letak atur perbandaran kota Mekah dengan penempatan Qabilah yang memasuki pintu-pintu tertentu ke Mesjid al-Haram yang masih dikenali namanya sehingga kini. Eg pintu bani Syaibah, al-Nadwah dan lain-lain.

5.3 Sejarah dan teknologi di zaman-kerajaan2 Islam Khulafa’ ar-Raasyideen (11-40H/
632-661M)

Era pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, ‘Uthman al-‘Affan dan ‘Ali Abi Talib di kenali sebagai khalifah terpimpin, kerana mereka adalah sahabat nabi saw yang terdidik langsung oleh baginda. Perkembangan ilmu pengetahuan di zaman ini yang terunggul adalah sains pengurusan di mana Zaman inilah pengasas sistem kekhalifahan Umat Islam. Kesannya teori dan praktik kepimpinan mengikut sistem kementerian (wazaarah), kehakiman (nizam al-tahkim) dan majlis kepimpinan tertinggi (majlis asy-Syura). Zaman inilah Khalifah Abu Bakar dicadangkan untuk mendapatkan gaji dari bait al-maal dan ditegah melakukan urusniaga demi kecekapan perlaksanaan tugas pemerintahan. Abu Bakar tegas mengemaskinikan institusi zakat dan memerangai yang tidak mengeluarkan zakat kerana diqiaskan dengan tidak mengerjakan solat.

Sistem pendidikan al-Quran berpusat di Mesjid an-Nabawiy, di zaman Umar al-Khattab sistem ini dikenali sebagai “al-Kuttab” – pendekatan asas untuk membaca dan menguasai al-Quran, pembacaan dan penulisannya di kalangan kanak-kanak. Mereka menghafaz al-Quran, Hadith-Hadith, ahkam at-Tasyri‘ dan puisi-puisi Arab.

‘Umar al-Khattab mengemaskinikan wazarah dengan Jabatan-jabatan (dawawin pl. – Diwaan sgl.) yang banyak untuk melicinkan pemerintahan seperti Diwan al-Junud – jabatan yang mengendalikan urusan ketenteraan seperti gaji, perubatan, unit-unit tentera peninjau, jalan kaki dan berkuda, Diwan al-‘ataa’ – Jabatan yang mengendalikan pampasan kepada anak yatim, balu-balu, gol miskin dsb., Diwan al-Kharaj – jabatan percukaian terhadap penduduk bukan Islam dan Diwan al-Bareed – Jabatan yang menguruskan penghantaran surat, barang dan berita agar sampai ke destinasinya.

5.4 Sejarah dan teknologi di zaman-kerajaan2 Islam Khulafa’ Umaiwiyyah (40-132H/661-
750M)

Muawiyyah bin Abi Sufyan pengasas Sistem Beraja – Autoktratik (al-muluk) yang melibatkan keluarga beliau. Pusat Pemerintahan berpindah dari Madinah ke Damsyik (Syria). Di Era Umaiyyah berlaku perhubungan pertukaran teknologi dengan tamadun barat Yunani dan Rumawi dan tamadun timur Parsi, India dan China. Ketika ini umat Islam mula belajar teknologi Perkapalan, kelengkapan peperangan dan peralatan pertanian. Tidak ketinggalan teknologi pembuatan kertas dan aktiviti penulisan sangat giat berjalan.

Dengan Perluasan kawasan di barat umat Islam memperolehi khazanah ilmu sains dan falsafah Yunani dari Byzantine, Sains Perubatan dan falsafah Yunani diperolehi dari Mesir (Iskandariah) dan Parsi (Jundshahpur), dan dari penerokaan ke sebelah timur umat Islam mempelajari ilmu astronomi dan falsafah matematik dari India dan teknologi pembuatan kertas dari China. Di zaman ini telah bermula era penterjemahan ilmu-ilmu asing ke dalam bahasa Arab semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Malik (705-715M).

5.5 Sejarah dan teknologi di zaman-kerajaan2 Islam Khulafa’ ‘Abbasiyyah (132-656H/
750-1258M)

Zaman Khilafah ‘Abbasiyyah masyhur dengan kematangan ilmu dan kemuncak kecemerlangan intelektual dan kesarjanaan. Himpunan rekod kesarjanaan itulah lahirnya Bait al-Hikmah, sebagai penanda aras khazanah ketamadunan umat Arab dan bukan Arab di kota Baghdad. Gelanggang ilmu pengetahuan dan Institusi-Institusi keilmuan dibuka kepada sesiapa sahaja dan bidang apa sahaja yang ingin dipelajarinya; daripada ilmu logik sehingga bidang Astronomi, geodesi, pertanian, pengairan, ilmu peperangan serta pertahaanan kota, persenjataan dll.. Hasilnya, kota Baghdad menjadi kunjungan Ulamak dan sarjana timur dan barat serta dari seluruh pelusuk alam Islam dan barat serta timur. Kejayaan ini merekodkan kesungguhan para khalifah ‘Abbasiyah termasuk Harun al- Rashid dan ‘Abdullah al-Makmun. Pemikiran Greek dan segala agama dari tamadun lain tidak lagi disekat untuk dibincangkan. Polemik kesarjanaan berlaku berterusan, mengasah dan mencabar daya intelek umat dan melahirkan kesarjanaan tulin dan teruji kepakaran dan kewibaannya. Kitab-kitab adalah produk-produk budaya ilmu dan kesarjanaan tinggi kota Baghdad. Mereka bertanggung jawab menghasilkan ilmu di dalam rangka peradaban Islam yang bersifat antarabangsa, majmuk (plurality), silang budaya dan interaksi melepasi lingkungan Arab dan Islam. Kerana itulah bangsa-bangsa lain yang tidak beragama Islam turut menyumbang karya mereka untuk ketinggian peradaban Islam, kerana mereka merasakan bahawa kesarjanaan mereka sebahagian dari produk ketamaduan Islam dan keunggulannya.

Ketika kecemerlangan dicapai di timur empayer Islam, Kerajaan Islam di barat turut berkembangan maju apabila Andalusia, Sepanyol (asbaniya) dan kepulauan Sicily (saqaliyyah) dikuasi oleh pejuang Islam dan mula memerintahnya sejak kemasukan Tariq ibn Ziyad pada 90H/711M melalui selat Gibraltar (Jabal al-Tariq) dan seterusnya ditadbir dengan cemerlang oleh ‘Abdul Rahman al-Naasir (‘Abdul Rahman III). Cordova (Qartubah) menjadi ibu negara Islam Eropah dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan yang masyhur ketika di bawah pemerintahan al-Hakam II. Universiti Cordova menjadi mercu kejayaan pusat pengajian tinggi di Andalusia dengan menjadikan Mesjid Cordova sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Kekuasaan Islam di Andalusia merosot dan mejadi lemah dan jatuh ke tangan Pemerintah Kristian, Raja Ferdinand dan Ratu Isabella pada tahun 1492M.

6. Pengaruh Tamadun Islam ke atas Eropah

Kekuatan bahasa Arab berjaya membentuk pengaruh peradaban sehingga menguasai pemikiran golongan Kristian yang menjadikannya sebagai lingua franca – bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa di semua jajahan Negara Islam di timur mahu pun di barat. Misalnya gereja Sepanyol telah menterjemahkan kitab-kitab agama Kristian daripada bahasa Latin ke bahasa Arab. Dalam usaha menyibarkan Ilmu pengetahuan tamadun Islam ke Eropah, Frederick II dari Holy Roman Empire (1215M) telah menubuhkan universiti Nepples bertujuan mengembangkan sains Islam ke Eropah. Di universiti inilah berlaku usaha penterjemahan karya-karya tamadun Islam dari Arab ke bahasa Latin dan ‘Ibraniy (Hebrew). Frederick II jugalah yang telah mendorong Michael Scot berhijrah ke Toledo pada 1217M untuk menyelia penterjemahan komentari Ibn Rushd terhadap Aristotles. Universiti Montpellier di selatan Perancis, yang asalnya ditubuhkan oleh para doktor yang berhijrah ke Sepanyol telah menjadikan karya agung al-Qanun fi al-Tibb itu – the Cannon of Medicine oleh Ibnu Sina (Avicenna) sebagai sukatan mata pelajaran perubatan.

5.5.1 Pringkat Penterjemahan dan Pengaruh Perkembangan Sains dan Teknologi Islam.

Zaman penterjemahan karya sains asing ke dalam bahasa Arab dan penyaringan (synthesis) ke dalam rangka ilmu Islam sejak (759-900M) boleh di bahagikan kepada tiga peringkat;

Peringkat pertama: Penterjemahan bermula di zaman al-Walid ibn abdul Malik (86-96H/705-715M) khalifah keenam kerajaan Bani Ummaiyah. Beliau telah mengemukakan idea menterjemahkan karya-karya Yunani ke bahasa Arab, sejajar dengan menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa resmi negara. Antara karya-karya terlibat termasuklah ilmu-ilmu perubatan, astronomi dan kimia.

Peringkat kedua: Peringkat ini berlaku ketika pemerintahan Abu Jaafar al-Mansor (136-158H/754-775M), iaitu khalifah kedua kerajaan Bani Abbasiyah. Bidang-bidang yang diterjemahkan termsuklah perubatan, ilmu hisab (arithmatics), geometri dan ilmu falak. Suatu perkembangan baru di zaman ini ialah ilmu logik atau mantiq Yunani diterjemahkan ke bahasa Arab dengan arahan daripada khalifah al-Mansor. Matlamat daripada penterjemahan ini agar umat Islam mampu menyusun hujah dan mengatur bukti kebenaran agama Islam setanding dengan perbahasan orang Yahudi dan Masihi yang menguasai arena debat dan hujah keagamaan.

Peringkat ketiga: Peringkat ini berlaku ketika pemerintahan ‘Abdullah al-Makmun (198-218H/813-833M) sehinggalah ke kurun keempat Hijrah (300H), beliau adalah khalifah ketujuh kerajaan ‘Abbasiyah yang bertanggung jawab mendirikan Bait al-Hikmah (House of Wisdom). Pada zaman bagindalah mercu perkembangan sains dan teknologi begitu ketara kerana minat mendalam baginda di bidang ilmu pengetahuan. Banyak karya-karya terjemahan diterbitkan daripada berbagai bahasa ke bahasa Arab. Sejarawan mengatakan bahawa kerajaan baginda dipengaruhi oleh aliran kalam al-Muktazilah kerana banyak menekankan aliran rasional akal fikiran di dalam urusan keagamaan dan beberapa sikap agama Islam sejajar dengan aliran tersebut, antara yang termasyhur adalah al-Quran adalah al-Hadeeth (baharu tidak qadeem seperti aliran ahlu sunnah wa al-Jamaah).

5.5.2 Zaman Keemasan Umat Islam (Muslim Rennaisance)

Zaman ‘Abbasiyyah dikenali juga sebagai zaman keemasan umat Islam ditinjau dari pencapaian dan perkembangan ilmu pengetahuan (from scientific and technological achievement) antara (900-1100M). Dari sudut perubatan sebagai contoh ianya berlaku sebaiak sahaja berakhir tem[poh penterjemahan yang berasaskan sains perubatan timur dan barat; iaitu perubatan Greek dan Parsi dan India. Ketika inilah lahir tokoh perubatan Islam pelbagai bidang termasuklah Ibnu Rushd (Averroes), Ibn Jazzar, Jabir ibn Hayyan, Ibnu Sina dan lain-lain. Zaman keemasan ini berlaku dengan jelas sekali ketika pemerintahan khalifah Harun al-Rashid (170-193H/786-809M) dan anakanda baginda ‘Abdullah al-Makmun.

Tidak dinafikan bahawa jika dibandingkan pencapaian sains kemanusiaan dan pembangunan manusia (from antrophology and sociological developement) yang terbaik dan gemilang, tidak syak lagi bahawa Zaman Muhammad saw (adalah zaman dan kegemilangan dan keemasan umat Islam, kerana ianya telah diakui Allah swt sebagai pencapaian kegamaan yang sempurna (al-yawm akmaltu lakum deenakum), kesempurnaan nikmat kehidupan (wa atmamtu ‘alaykum ni‘matiy) dan generasi manusia yang mendapat redha Allah swt dengan agama Islam sebagai cara hidup (waradheetu lakum al-Islaama deenan). Dalam Hadith Nabawiyah terdapat pengiktirafan generasi sahabat adalah terbaik seperti : “Kurun yang terbaik itu adalah kurunku (Nabi saw bersama-sama generasi sahabat), kemudian disusuli oleh kurun selepasnya (generasi sahabat Rasulillah saw), kemudian disusuli oleh kurun selepasnya (generasi tabi‘ien iaitu pengikut kepada golongan sahabat Nabi saw), kemudian disusuli oleh kurun selepasnya (generasi tabi‘u al-taabi‘ien).” Setengah penilai (murajjihin) menjelaskan bahawa tiga generasi itu mewakili 300 tahun selepas kewafatan baginda Nabi saw adalah salafus al-soleh merupakan generasi yang diberkati Allah swt.

Sikap Umat Islam ialah tidak memisahkan kedua-dua pencapaian keemasan Tamadun Umat Islam di zaman ‘Abbasiyyah dan Nubuwwah wa khulafa’ Muslimin ini secara sepadu; iaitu pencapaian ilmu sains dan teknologi kemanusiaan dan sains dan teknologi gunaan. Inilah rangka berfikir umat Islam yang asal, dan sebarang usaha pengembalian tamadun umat Islam perlu beracuankan kegemilangan menyeluruh ini (holistic rennaisance). Rangka berfikir beginilah mampu mencapai tugas hakiki umat dan ilmuan Muslimin sebagai khalifatan fi al-’ardh - khalifah di bumi.

Oleh:

Abu ’Amrullah Muhammad Ahmad Daud Ishak al-Merbawiy
6 Mac 2008©

email to: easudihamdun@yahoo.co.uk
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
Universiti Teknologi Mara Perlis
02600 Arau Perlis

Call number: 019-4786504 (hp)/604-9875051 (office)

No comments: