Thursday, September 18, 2008

Baiki hubungan Islam-Barat

Rencana –Utusan Malaysia Online Ahad (Mingguan Malaysia) 19 Jun 2007/ 3 Jamad al-Akhir 1428H

Oleh: ZIN MAHMUD

SUDAH tentu suatu yang istimewa bagi penulis apabila dapat bertemu Karen Armstrong kerana buku-bukunya telah banyak ditatapi. Dari buku History of God (Sejarah Tuhan) pada 1993 hingga The Great Transformation (Transformasi Besar) yang belum habis dibaca.

Di antara dua buku itu ialah Islam: A Short History (Islam: Sejarah Pendek) dan Muhammad: A Prophet of our Time (Muhammad: Seorang Nabi Zaman Kita).

Buku mengenai Islam itu memberi gambaran adil mengenai agama itu dan dijual laris di Britain apabila diterbitkan ekoran peristiwa 11 September. Armstrong muncul sebagai seorang yang membela Islam dalam masyarakat dan suasana Islamofobia selepas peristiwa itu.

Armstrong, 63, berketurunan Irish memakai baju berwarna hitam, berambut pendek perang ketika diwawancara di Hotel Mandarin Oriental. Beliau berada di Kuala Lumpur untuk berceramah dalam Program Pembicaraan Pemuda Antara Tamadun anjuran Pergerakan Antarabangsa bagi Dunia Adil (JUST) di Kajang. Ceramah beliau bertajuk Peranan Agama dalam Abad ke-21 anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR).

Ditanya apakah kaedah beliau menulis buku dengan banyak dan mendalam, beliau berkata: "Saya membaca banyak buku. Mengkaji, menelaah buku. Tidak ada jalan singkat. Perlu kerja keras untuk menulis buku."

Selanjutnya beliau menceritakan bagaimana menulis buku adalah suatu kerja yang sunyi dan bersendirian, malah seperti kehidupan seorang paderi. Dalam membaca dan menulis, seorang menemui ketenangan rohani. Malah ia menjadi sebagai suatu ibadah. Seperti yang terungkap dalam tradisi agama Yahudi di mana kerohanian ditemui melalui teks, iaitu membaca.

Armstrong pernah menjadi paderi Katolik, yang dalam istilah Inggerisnya disebut nun. Kisah beliau semasa menjadi paderi ditulis dalam buku autobiografinya, Through the Narrow Gate (Melalui Gerbang Sempit) dan The Spiral Staircase (Tangga Bulatan).

Buku ini sudah diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan pernah diulas oleh Shaharom TM Sulaiman, dan disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Hampir kesemua bukunya diterjemahkan ke bahasa Indonesia termasuk Sejarah Tuhan. Buku History of God diharamkan di Malaysia.

Satu-satunya negara di dunia yang mengharamkannya. Penulis sempat membacanya sebelum ia diharamkan.

Sebanyak 20 buku telah beliau tulis yang menjadikannya sebagai ahli sejarah agama.

"Buat masa ini saya sedang menulis buku mengenai Bible. Bagaimana mentafsirkan teks. Ia juga relevan dengan al-Quran."

Sebab-sebab beliau meninggalkan agama Katolik dikisahkan dalam autobiografinya itu.
Armstrong menceritakan bagaimana beliau terlepas dekad 60-an iaitu waktu dunia berubah begitu mendadak. Menurutnya, beliau tidak mengenal kumpulan The Beetles dan ketika keluar daripada konvent, satu dekad berlalu begitu saja.

Beliau kurang senang dengan sebarang sikap yang merenggangkan hubungan antara agama. Lebih-lebih lagi hubungan dunia Katolik yang diketuai oleh Pope Benedict XVI dengan umat Islam.

Baginya, semua manusia berkaitan di antara satu sama lain dan hubungan antara agama mesti baik. Sungguhpun begitu, segala upacara Katolik telah mewarnai kehidupan kerohaniannya walaupun setelah meninggalkan agama itu. Katanya, kehidupan di konvent lebih kepada soal upacara daripada fahaman.

Sikap beliau terhadap agama itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan komuniti di Britain.

Selepas tidak lagi menjadi paderi, beliau meneruskan pelajarannya di Universiti Oxford dalam bidang kesusasteraan Inggeris. Hasratnya untuk menjadi sarjana kesusasteraan Inggeris. Tentunya kajian dalam sastera melatihnya untuk mengkaji dan mentafsir teks. Ketika itu, seperti kebanyakan orang di Britain, beliau menolak agama.

Daripada kajian kesusasteraan ini, keindahan penulisan beliau terserlah. Tetapi apa yang membawanya kembali kepada agama, kerohanian dan ketuhanan ialah bacaannya terhadap agama Yahudi. Beliau pergi ke Baitulmaqdis, dan dari situ mula berkembang minat terhadap Islam. Di situ beliau bertemu dengan orang Islam.

Maka ia mendorong minatnya untuk mengkaji apa yang disebut sebagai agama Ibrahim, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Beliau pernah disebut sebagai monoteis bebas iaitu menghargai ketiga-tiga agama, Yahudi, Kristian dan Islam.

Tetapi apabila ditanya adakah benar kenyataan itu, beliau berkata, anutannya adalah kerohanian dari semua agama termasuk tradisi Timur seperti Buddha, Hindu dan Taoisme yang beliau paparkan dalam The Great Transformation.

Dalam buku itu dipaparkan betapa manusia pada satu zaman tiba-tiba sedar mengenai agama. Socrates di Greece, Buddha di India dan Lao-tze di China.
Tentang Islam, beliau berasa cenderung dalam tradisi Sufi. Ditanya apakah yang menarik tentang Islam? Beliau meletakkan pluralisme sebagai sifat agama ini yang menjadi kekuatan.

Maka di Britain, beliau menjadi tokoh undangan yang akan bercakap mempertahankan agama. Dalam banyak-banyak agama pula, beliau dikenali sebagai orang yang mempertahankan Islam.

Menurutnya, beliau turut diundang dalam forum untuk berdepan dengan tokoh-tokoh pejuang ateisme seperti Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan lain-lain.
Dawkins dianggap sebagai pemuka neo-ateisme. Fahaman ini menolak agama secara agresif. Tidak seperti atheis lama yang hanya tidak mempercayai Tuhan, golongan neo-atheis ini menyifatkan agama sebagai penyakit dan pembawa masalah bagi manusia.
Mereka pula aktif menyebarkan fahaman ini untuk mengajak orang meninggalkan agama.

Dawkins, seorang ahli teori evolusi di Universiti Oxford menggunakan hujah-hujah sains bagi menentang agama.

Tetapi bagi Armstrong, mereka ini fundamentalis sekular yang mempunyai pandangan sempit tentang agama dan Tuhan.

Menurut Armstrong, konsep Tuhan yang dipegang oleh manusia berubah dari semasa kecil hinggalah apabila dewasa dan matang. Ketuhanan dan agama adalah kompleks dan wajar difahami dengan mengkaji.

Tetapi konsep ketuhanan yang ditolak oleh golongan neo-ateis itu adalah primitif dan simplistik. Mereka tidak menyelami kehebatan agama untuk menghayati.

Bila disebut Allahuakbar, menurutnya, membawa maksud ketuhanan yang Maha Besar dan melangkaui kefahaman simplistik yang dipegang oleh neo-atheis itu.

*Perbezaan

Tetapi katanya di Britain, hanya enam peratus yang mengamal agama. Banyak gereja ditinggalkan. Katanya, kemungkinan orang yang meningkatkan angka itu ialah orang Islam di Britain.

Ditanya adakah perbezaan antara Islam di Asia Barat dengan Islam di Asia Tenggara?
Armstrong memberitahu, kunjungannya ke Kuala Lumpur ini adalah yang pertama ke Asia Tenggara. Tetapi baginya, Asia Barat mengalami tragedi hingga menimbulkan suasana ketegangan antara agama. Kolonialisme memburukkan keadaan di mana kewujudan Israel yang membawa kepada peminggiran Palestin menyebabkan pertembungan antara agama.

Asia Barat sentiasa dirundung perang sejak tahun 1948, iaitu ketika Israel ditubuhkan. Orang Eropah berasa bersalah dengan Holocaust dalam Perang Dunia Kedua. Ekoran itu dirasakan orang Yahudi perlu memiliki negara sendiri iaitu Israel.

"Tetapi bukanlah menyingkirkan penduduk Palestin," ujarnya yang menunjukkan sokongan kepada hak rakyat Palestin.

Menurut beliau, satu lagi faktor yang menjadikan Asia Barat malang ialah minyak. Kehadiran minyak menyebabkan tamak haloba timbul dan mendorong kuasa Barat mendukung rejim-rejim zalim seperti Shah Iran dan Saddam Hussein pada peringkat awalnya.

Israel dan minyak menimbulkan kekacauan di Asia Barat sehingga hubungan antara agama terjejas.

Armstrong mengakui bahawa pada satu masa beliau meletakkan harapan besar kepada Iran untuk membawa gerakan baru dan memperbaiki hubungan antara agama. Beliau merujuk kepada gerakan prodemokrasi Iran pimpinan bekas Presiden Ahmad Khatami yang dikenali sebagai pelopor konsep Dialog Antara Tamadun. Menurutnya, harapan ini hilang apabila Presiden George W. Bush mengutarakan konsep Paksi Kejahatan (Axis of Evil) di mana Iran, ketika itu pimpinan Khatami adalah salah sebuah negara jahat.

Keadaan ini menimbulkan reaksi negatif dengan rakyat Iran menolak golongan prodemokrasi dan menyokong Presiden Mahmud Ahmedinejad. Hasilnya ialah ketegangan yang lebih meruncing bukan saja antara AS dengan Iran, tetapi antara Islam dan Barat.

Apakah beza sebelum peristiwa 11 September dan sesudahnya? Armstrong menyatakan bahawa dunia sedang berubah. Peristiwa itu menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah kuasa besar boleh dilawan.

"Tidak mustahil satu hari kumpulan-kumpulan kecil ini mampu memperoleh senjata nuklear," ujarnya.

Beliau menyebut betapa perang di Lebanon tahun lalu menunjukkan, kumpulan kecil boleh mengalahkan negara yang besar. Armstrong merujuk keadaan di mana Hizbullah dapat mengalahkan Israel.

Katanya, reaksi rakyat Britain kepada peristiwa pengeboman 7 Julai adalah berbeza dengan pihak AS kepada peristiwa 11 September. Ini kerana, menurutnya, AS tidak pernah mengalami serangan ke atas wilayah daratnya. Serangan ke atas Pearl Harbour semasa Perang Dunia Kedua adalah berbentuk di luar pantai.

Sebab itu AS bertindak macam-macam termasuk serangan ke atas Afghanistan dan Iraq. Tetapi Britain yang pernah mengalami serangan langsung dalam Perang Dunia Kedua adalah lebih tenang. Banyak orang Britain menjangka akan berlaku pengeboman 7 Julai itu kerana polisi kerajaan London terhadap Iraq.

Justeru, apakah pandangannya mengenai hubungan Islam dan Barat?

Beliau tanpa teragak-agak menegaskan bahawa memperbaiki hubungan antara Islam dan Barat adalah satu-satunya cara bagi menyelamatkan dunia demi masa depan keturunan manusia.

"Lagipun kita semua berkongsi nilai-nilai yang sama," tegasnya dengan merujuk kepada persamaan nilai dalam tradisi Yahudi, Kristian dan Islam.

Bagaimana caranya? Baginya sebagai penulis: "Terus mengkaji, menulis dan keluarkan lebih banyak buku."

Maksudnya ialah terus meyakinkan manusia supaya berbaik-baik, saling sayang-menyayangi dan mempelajari lebih mendalam mengenai agama untuk mengetahui kebesaran nilai-nilai kerohanian yang sebenarnya rasional dan membahagiakan.

Ditanya apakah beliau lakukan pada masa rehatnya, kalau tidak menulis atau berceramah, Armstrong yang tidak pernah berkahwin itu menyatakan:

"Membaca novel, mendengar musik klasik chamber dan makan-makan dengan kawan."
Banyak orang mungkin tidak setuju dengan pendapat dan kepercayaannya mengenai kesaksamaan agama dan juga perspektifnya tentang Tuhan dalam buku The History of God.

Tetapi di dunia hari ini, tidak ada sesiapa selain Armstrong yang mengkaji tentang sejarah agama dengan begitu mendalam dan menulisnya untuk bacaan ramai orang di seluruh dunia melalui gaya penulisan popular.

"Semua buku yang saya tulis memerlukan perhatian dan kerja keras yang sukar," ujar beliau.

Reference:
http://utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

No comments: