Thursday, September 18, 2008

Senator Datuk Zaid Ibrahim Bantah ISA

Zaid bantah guna ISA kes perkauman

Oleh:
Ismail Mat dan Nor Fazlina Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my

Sedia dipecat jika kerajaan terus lakukan tangkapan

KOTA BHARU: 15 September,2008., Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, semalam menyatakan kesediaan dipecat atau diarah meletak jawatan daripada Kabinet jika kerajaan terus melakukan tangkapan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kes bukan membabitkan anasir komunis dan pengganas di negara ini.

Katanya, beliau tidak dapat menerima alasan penggunaan ISA yang diberikan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan membantah tangkapan dibuat mengikut ISA kerana undang-undang itu menimbulkan lebih banyak masalah dan tidak membawa keadilan.

"Saya gembira dengan pembebasan wartawan wanita itu dan berharap dua lagi yang masih dalam tahanan turut dibebaskan.

"Saya berharap kerajaan yang ada bertindak mengikut undang-undang, prinsip dan peraturan. Kalau masih gunakan ISA, saya rasa ia bukan satu perubahan atau pembaharuan undang-undang, tetapi kembali kepada cara lampau," katanya di rumahnya di sini.

Zaid berkata, penggunaan ISA juga bererti kerajaan tidak percaya kepada kecekapan dan kelengkapan yang ada pada polis dan tentera untuk memastikan keamanan dan ketenteraman.

"Saya akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh terdekat dan jika saya dilihat sebagai beban kepada parti serta kerajaan...jika beliau mahu saya berundur, saya sedia berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, negara mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menimbulkan isu perkauman seperti Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan diambil tanpa perlu menggunakan ISA.

Sementara itu, Zaid menjelaskan, beliau tidak mencadangkan atau menyuruh Perdana Menteri memecat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana saranannya supaya tempoh peralihan kuasa dipercepatkan.

"Saya kata, dalam sistem Kabinet, kalau kita tak setuju dengan Perdana Menteri, kita berhentilah," katanya.

Reference:
http://www.bharian.com.my/Monday/Nasional/20080915002512/Article/index_html

No comments: