Thursday, December 25, 2008

Perkasakan Budaya Intelek dan Harus Syarak : Bentuk Senario Baru Negara

Khamis 25 Disember 2008 | 26 Dzulhijjah 1429 Hijrah

Bersediakah kita untuk suatu 'kebudayaan baru'?

Oleh:
Dinsman

Mon | Dec 22, 08 | 5:34:02 pm MYT

Pagi itu Kuala Lumpur tidak sibuk. Hari Sabtu akhir November, rumah di Jalan Stoner itu sekali lagi menyaksikan Tok Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, buat kali keduanya bertemu pula dengan sekumpulan kecil seniman dan budayawan yang prihatin dengan nilai dan panduan Islam terhadap aktiviti seni.

Sebelum itu, pada Julai lalu sewaktu merasmikan penubuhan Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Tok Guru juga telah mengadakan dialog terbuka dengan kiran-kira 300 orang hadirin, di Kelana Jaya Selangor, menjawab pelbagai kemusykilan umum mengenai seni dan budaya.

Manakala pertemuan pertama di Jalan Stoner berlaku lebih awal, kira-kira tiga tahun lalu, membincangkan hal-hal sekitar seni muzik dan seni lakon, dengan kehadiran aktivis berkenaan seperti Nasir jani, Ito dan Ghani (Blues Gang). Waktu itu Paksi belum ditubuhkan. Perbincangan menjurus kepada persoalan penggunaan alat muzik, yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Pertemuan akhir November lalu diadakan khusus atas anjuran Paksi, bagi memperjelaskan kedudukan hukum penampilan wanita menyanyi di khalayak umum, di hadapan penonton lelaki. Ini berikutan satu pandangan dikemukakan Dr Hamzah Jaafar (Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang), yang mencadangkan supaya PAS membenarkan perkara tersebut, dengan syarat-syarat tertentu. (Hrkh 19 Sept)

Pandangan Dr Hamzah itu telah saya sambut dengan ghairah sekali melalui kolum Wacana Budaya ini. Antara lain saya berkata, "Syabas Dr Hamzah ... Ini pemikiran dan pendirian paling berani. Satu breakthrough dalam perkembangan seni dan hiburan Islam di Malaysia." Dan saya menganggapnya sebagai "cahaya sudah mulai kelihatan di hujung terowong."

Saya membayangkan suatu wacana ilmu yang sangat dinamik dan menarik akan berlaku. "Wah, nampaknya langit Malaysia semakin cerah," kata saya. "Langit yang semakin cerah membayangkan hari-hari depan yang ceria dengan kicauan burung-burung. Selamat datang 'kebudayaan baru'."

Begitu sekali ghairahnya saya menyambut perkhabaran baru yang dilontarkan Dr Hamzah. Maka pada pagi yang hening dan damai itu, hati saya sedikit berdebar-debar menunggu kata berhikmah yang akan dilafazkan oleh TG Nik Aziz, di hadapan kawan-kawan seniman Paksi, dan di hadapan Dr Hamzah sendiri.

Mengapa tidak berdebar! Paksi dan Dr Hamzah sudahpun berbincang untuk menganjurkan satu konsert yang akan disertai oleh penyanyi wanita. Dan TG Nik Aziz sendiri diundang menjadi tetamu majlis itu. Hanya kami menunggu kata penentunya daripada Tok Guru. Apakah Menteri Besar Kelantan itu sudah bersedia untuk menyemak semula Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan yang melarang wanita menyanyi di khalayak umum?

Pagi itu bukan saja suasana alam di sekitar Jalan Stoner itu ceria dan damai. Di dalam rumah pun, TG Nik Aziz kelihatan begitu ceria menyambut kedatangan kami. Beliau menceritakan kisah-kisah penglibatannya dengan aktiviti seni di zaman beliau masih menjadi pelajar dulu, terutamanya di Mesir. Suatu pembukaan dialog yang cukup baik.

Dan apabila saya menyambut isyarat itu dengan meminta pandangannya terhadap cadangan Dr Hamzah, agar wanita dibenarkan menyanyi di hadapan umum, beliau menjawabnya dengan senyuman penuh makna. Katanya, sewaktu membaca perkara tersebut di dalam Harakah pun, sudah terlintas dalam fikirannya hendak menjawab.

"Tetapi dalam perkara-perkara tertentu, termasuk perkara ini," katanya, "saya fikir diam itu lebih baik daripada menjawab."

Tujuannya ialah tidak mahu membesar-besarkan soal itu, dan tidak mahu menonjolkan perbezaan pendapat dalam soal berkenaan. Dan dia pun mengingatkan kami supaya tidak cuba melaga-lagakannya dengan Dr Hamzah, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara mereka dalam hal tersebut.

"Orang Kelantan sudah menerima Enakmen Kawalan Hiburan yang kami laksanakan di Kelantan," katanya. Dan dengan ayat itu Tok Guru yang juga Menteri Besar itu pun terus menghuraikan kerja-kerja yang dilakukannya di negeri Kelantan, bagi membendung gejala maksiat yang pelbagai ragam.

Menegah kemunculan wanita menyanyi di atas pentas di hadapan khalayak umum itu, bukan sahaja dilihatnya dari sudut keperluan manusia kepada seni dan hiburan, tetapi juga dari sudut akhlak dan kemungkinan ia mempengaruhi kepada gejala-gejala maksiat.

Dalam hal ini TG Nik Aziz nampak sungguh tegas. (Tidak boleh). Kerana dia melihatnya sebagai salah satu punca atau saluran yang membawa kepada pelbagai gejala sosial yang lain.

Lalu persoalannya: Apakah Islam tidak friendly dengan wanita? Bagaimanakah kita hendak menjinakkan para remaja hari ini yang sangat berminat dengan hiburan apabila kita menghalang wanita menyanyi di khalayak umum? Tidakkah ini menunjukkan Islam mengamalkan diskriminasi terhadap wanita? Apakah PAS langsung tidak memikirkan nasib para artis wanita yang mencari rezeki dengan menyanyi, sedangkan mereka dikurniakan bakat di bidang tersebut?

Segala persoalan itu dijawab oleh TG Nik Aziz dengan membuka horizon atau perspektif pemikiran yang berbeza sama sekali. Sekiranya kita masih berfikir dengan kerangka pemikiran sekular, kita tak akan menerima hujah-hujahnya. Sekiranya kita berfikir bahawa golongan muda perlu disogokkan dengan hiburan dalam bentuk muzik dan nyanyian, dan muzik dan nyanyian itu pula kita cuba sesuaikan dengan ciri-ciri atau nilai-nilai yang (kita fikir) dibenarkan syariat, kita akan terus berada dalam zon kabur yang tidak nampak hujung penyelesaiannya.

Kita bertanya, "Apa yang hendak dibuat oleh penyanyi-penyanyi wanita kita yang selama ini mencari rezeki dengan menyanyi?"

TG Nik Aziz menjawab: "Ada banyak lagi kerja yang perempuan boleh buat. Bukan menyanyi saja. Perempuan boleh menjahit, boleh berniaga, boleh kerja di pejabat, buat macam-macam lagi selain daripada menyanyi."

Wah! Ini serius. Seperti apa yang pernah menjadi kebimbangan saya sendiri, bersama Ito dan Nasir Jani, seperti yang pernah saya katakan, bahawa: "apabila kami membayangkan suatu hari nanti kemungkinan PAS menerajui pemerintahan Malaysia, kami menjadi amat bimbang dan risau. Anda pun cubalah bayangkan! Tidak ada penyanyi wanita. Tidak ada pelakon wanita. Apa jadi dunia muzik, drama dan perfileman kita? Dan apa jadi pada anak-anak muda kita yang meminati bidang tersebut?"

Ini betul-betul satu "kebudayaan baru". Bersediakah kita untuk "kebudayaan baru" yang seperti itu? Ataupun bagaimana ... ?

Saya mengharapkan Dr Hamzah akan mengemukakan hujah-hujahnya bagi mempertahankan pandangannya, pada pagi itu. Tetapi apabila diminta, beliau sekadar menyebut sedikit pandangan Yusuf Qardhawi, yang menjadi rujukan pendapatnya. Barangkali beliau menghormati pendirian TG Nik Aziz yang tidak mahu bersilat pendapat dengannya. Kita pun memahami situasi itu.

Apa pun, bagi saya, sesi pagi kira-kira satu jam bersama TG Nik Aziz di Jalan Stoner Sabtu hujung November itu adalah suatu sesi wacana ilmu yang telah membuka satu horizon pemikiran baru yang perlu terus diterokai, bagi mendapatkan jawapan kepada beberapa persoalan di sekitar kesenian dan kebudayaan kita.

Satu perkara yang terus melekat dalam fikiran saya ialah pengakuan TG Nik Aziz sendiri, bahawa ada suatu peristiwa seni yang meninggalkan kesan cukup istimewa di dalam hatinya, selama berpuluh tahun, hingga ke hari ini, iaitu lagu 'Selimut Putih' nyanyian kumpulan El-Suraya.

"Sekarang Akil Hayy pun ada menyanyikan lagu itu," katanya, "tetapi tak sama dengan nyanyian yang asal. Walaupun suara Akil Hayy begitu sekali bagus, tetapi tidak dapat memberi kesan sepertimana nyanyian yang asal dulu."

Di dalam hati saya berkata, "Barangkali yang asal itu lebih berkesan kerana ia dinyanyikan oleh wanita."

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.myAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau sms 0136362408) _

Reference:
http://harakah.hizbi.org/index.php?option=com_content&task=view&id=018418&Itemid=90

No comments: