Sunday, January 16, 2011

UMNO/BN PATUT RASA MALU...BUKAN BANGGA

Ruang Rencana Utusan Malaysia 17 Januari 2011/ 12 Safar 1432H, memperkecilkan perbezaan pendapat Dr Hassan Mohamad Ali dengan En Ronnie Liu tentang perbezaan pendapat pemberhentian pekerja Muslim di premis-premis menjual arak dan yang berkaitan dengannya. Suatu sudut yang tidak dilihat ialah keberanian Dr Hassan Ali menjelaskan isu-isu Islam kepada rakan PR agar dapat diperbincangkan. Sedangkan UMNO/BN tidak pernah menimbulkan isu seperti ini kerana takut hubungan BN retak, bukan ingin tegakkan yang benar walau pun berhadapan dengan risiko komponen keluar parti. UMNO/BN patut mencerminkan diri dulu, sebelum mempertikaikan usaha PAS dalam menjalankan dakwah Islamiah kepada DAP. Mudah-mudahan permuafakatan PR akan mencapai keputusan sebaliknya iaitu benarkan umat Islam tidak terlibat dengan industri Arak dan Judi kerana kedua-duanya tidak membawa keuntungan ekonomi di dunia dan akhirat. Pujian harus diberikan kepada Dr Hassan Mohamad Ali kerana telah bertegas menjelaskan isu umat Islam yang berkerja di premis Arak perlu disemak semula, dan diberikan alternatif di dalam mencari rezki untuk keluarga dan anak-isteri. Inilah yang dikatakan bahawa kedudukan di dalam kerajaan digunakan untuk memenangkan Islam, bukan membisukan sahaja isu-isu Islam terpinggir hanya kerana menuntut redha manusia. Carilah redha Allah swt terlebih dahulu, agar Allah swt memberi kekuatan dan hidayah kepada golongan yang tidak beriman itu mengbah pandangannya demi kebaikan bersama.

Abu Muhammad ADIS El-Merbawiy
DUNGUN MY
____________________________

RENCANA - Pas-DAP terus tidak sepakat dalam episod arak kedua

Apakah kerajaan campuran negeri Selangor dapat lakukan apabila hasrat Jabatan Agama Islam (JAIS) hendak melaksanakan undang- undang melarang umat Islam daripada bekerja di premis menjual arak nampaknya menerima tentangan daripada Exco kerajaan negeri itu.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali sendiri mahu undang-undang itu dilaksanakan seperti termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Hassan ada sebab bertegas mahu melaksanakan tanggungjawabnya bagi mencegah umat Islam daripada terlibat dengan urusan penjualan arak.

Sementara pendirian dua Exco daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu baru-baru ini membantah peraturan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Ronnie menggunakan kuasanya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan mengeluarkan satu pekeliling mengarahkan Yang Dipertua MPSJ supaya menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Ronnie memberi alasan yang beliau bimbang kemungkinan akan ada umat Islam hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selain mendakwa undang-undang syariah itu tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan.

Mana air muka Pas apabila usaha pemimpin mereka ditolak mentah-mentah oleh DAP. Ini satu penghinaan kepada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.

Ia juga satu bukti jelas bahawa Pas dan DAP tidak boleh bekerjasama.

Kenyataan pemimpin tertinggi Pas kononnya Pas boleh bekerjasama dengan penentang nombor satu penubuhan negara Islam itu hanya retorik. Lebih mudah Pas hanya bertepuk sebelah tangan.

Dalam isu larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak di Subang Jaya pun kedua-duanya tidak sependapat.

Kasihan Pas Selangor, sudah beberapa kali arahan mereka diketepikan oleh pemimpin DAP.

Jika isu larangan menjual arak ini Pas dan DAP tidak sepakat, bagaimana urusan pentadbiran negeri Selangor yang lain?

Apa kata Menteri Besar Selangor daripada PKR?

Kita terkejut apabila Ronnie Liu mengatakan udang-undang syariah yang melarang umat Islam bekerja di premis arak sebagai tidak praktikal.

Baru dapat kuasa, sudah menunjukkan lagak sombong dan bongkak. Kenyataannya itu boleh membakar lagi bara kemarahan yang sedia ada dalam diri umat Islam negara ini.

Apakah orang yang berkuasa di Selangor, Menteri Besar sudah 'hilang suara' untuk menegur anggota Exconya khususnya bukan Islam supaya tidak menyentuh hal-hal yang sudah termaktub dalam undang-undang seperti Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Jelas Ronnie Liu sudah dua kali mengganggu tugas pihak berkuasa tempatan yang sebelum ini terlibat dalam satu kes rampasan arak di Shah Alam beberapa tahun lalu.

Nampaknya hasrat umat Melayu di Selangor untuk melihat tiada premis menjual minuman keras di kawasan majoriti Islam di negeri itu tidak kesampaian.

Episod arak kali kedua ini mendedahkan pandangan Pas Selangor tidak ke mana pun. Apakah Pas akan tetap bersama-sama DAP dan PKR di bawah satu pakatan?


Reference:
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

No comments: